catatan peribadi ryina ikhwan

Ikuti catatan peribadi ryina ikhwan di http://ryinaikhwanroslina.blogspot.com/

Saturday 1 January 2011

Bahagian 6

Di tempat kerjaku aku bergaul dengan semua orang, samada lelaki atau perempuan.  Setiap hari aku tersenyum, ketawa dan menegur orang tidak kira lelaki dan perempuan.  Mereka itu adalah yang boleh berbincang dan bergelak ketawa bersama-sama.  Aku ingin berkawan dengan semua orang dan aku adalah orang mudah didekati.  Dan sejujurnya aku lebih suka berkawan dengan kaum lelaki dari kaum perempuan.  Tidak perlu berpura-pura bila bercakap dengan lelaki,  tidak perlu memuji atau bermulut manis.  Sejak kecil aku memang suka berkawan dengan lelaki.  Aku tomboy!  Aku pernah membonceng motosikal Hasnul rakan sekelas dan sekampung yang cute itu.  Aku juga pernah membonceng motor Zamri saudara bau-bau bacang yang juga sekelas ku.  Aku pernah juga membonceng motosikal Khairul yang handsome dan menjadi kegilaan itu.  Semua itu berlaku semasa aku dalam tingkatan lima.  Dan bukan aku sengaja ingin menggatal bermotor dengan lelaki. 
Dengan Hasnul, semasa aku menduduki peperiksaan percubaan SPM.  Hari itu hujan mencurah sejak pagi.  Dia datang dihantar dengan kereta sedangkan aku berbasikal.  Sampai di dewan peperiksaan aku baru mengetahui aku terlupa membawa slip peperiksaan.  Aku memberitahu Hasnul.  Hasnul dengan baik hati mencari motor kawan memboncengkan aku dengan motosikal. Semasa itu hujan lebat.  Aku dan dia basah kuyup sepanjang perjalanan dan kami ke dewan peperiksaan dengan jelingan curiga beberapa orang cikgu. Itulah kali pertama aku berada dekat dengan seorang lelaki.  Dan aku bernasib baik aku dan Hasnul tetap berkawan baik selepas itu.  Dia datang ke majlis perkahwinanku.  Dua tahun selepas itu ku dengar berita dia berkahwin dengan rakan sekerjanya seorang jururawat.  Baiknya dia sekali sekala datang berkunjung ke rumahku walau tahu aku tidak ‘beribu bapa’, dia berkawan denganku dengan tulus ikhlas…  
Semasa aku mengambil keputusan SPM, aku pergi ke sekolah menaiki ‘prebet sapu’.  Selepas mengambil slip peperiksaan, aku menunggu ‘prebet sapu’ namun tidak kunjung tiba.  Datang Zamri tersengih-sengih dengan motor bertanya keputusan peperiksaan ku.  Dia gembira aku mendapat keputusan yang baik.  Aku dan dia tidaklah serapat aku dan Hasnul.  Tetapi kami saling tersenyum dan bertegur sapa bila berjumpa.  Tanpa segan aku memintanya menghantar ke perhentian bas.  Dia tidak menolak.  Sampai di stesen bas, tiada juga bas datang.  Aku mula keluh kesah.  Kelihatan Khairul dengan motosikalnya.  Khairul dan aku saling mengenali, tetapi tidak pernah pula kami bercakap.  Namun sudah terpaksa.  Ku tebalkan muka mengangkat tangan minta tumpang.  Terkejut agaknya dia, tapi dia dengan selamba menghantar aku sehingga ke tangga rumah.
Peristiwa aku membonceng motosikal lelaki diketahui orang kampungku.  Tapi aku buat tidak peduli.  Berita itu sampai ke pengetahuan ibu, namun ibu memahami tindakanku.  Dia tidak memarahi aku.  Aku bukan mahu menggatal dengan mereka.      Dan ibu juga tahu walau tiada siapa pedulikan aku, pelajaran ku memang tidak pernah ketinggalan.  Aku kesayangan dan harapan guru-guru di sekolah.  Cikgu Rahim, guru fizikku… masihkah bertenaga dan bersemangat seperti dulu?  Cikgu Amran, guru kimiaku, masihkah bercakap dengan romantic seperti dulu? Cikgu Malik yang amat menyayangiku… yang pernah memanggil aku kerana surat cinta yang dihantar oleh orang yang tidak dikenali sampai ke tangannya… tidak memarahiku… Cikgu Haliza, guru bahasa Inggeris yang baru balik dari London ketika itu, masihkah mengajar seperti itu?   Cikgu Lee, guru matematik tambahan, yang sekali sekala mengejek aku bila aku tersasul cakap loghat Kelantan dengannya, masih sentiasa tersenyum seperti dulu?



Peringatan Tok Anjang membuat aku berfikir panjang.  Adakah aku akan alpa dan lupa akan kesetiaan suami lantas  mencari cinta baru dan membuat perkara terkutuk?  Ya Allah semoga aku dilindungi dari hasutan iblis… dan Abang Yee, jika saat itu tiba, saat aku akan menjadi isteri tidak bermaruah,  bolehkan menegurku sebelum aku hanyut dan membuat dosa besar?  Mengetahui kekurangan diri itu sebenarnya amat menakutkan.  Cara yang paling mudah untuk tidak terjebak dengan dosa sebegitu adalah dengan melihat kelemahan dan kekurangan diri sendiri serta sentiasa bersyukur dengan apa yang telah dimiliki.
“Ni! Isteri-isteri ni, dok risau bila dah kaya suami cari perempuan lain.  Dia tak sedar bila dah kaya, dugaan yang lebih hebat datang kepada dia orang?  Yang aku rejam selama ni isteri berjumlah dua ratus ribu empat ratus tujuh pula dua orang.  Suami yang aku rejam berjumlah seratus tiga puluh enam orang.”
Rupa-rupanya isteri yang jauh lebih banyak berzina dari suami.  Jadi kenapa isteri yang lebih merasa takut dimadukan sedangkan mereka lebih terdorong untuk membuat maksiat?  Ahh!  Pening kepala otakku.  Aku memberanikan diri bertanya,
“Yang Abang Yee rejam tu ramai ke orang ‘dalam’?”
“Ada jugaklah!  Dulu ramai juga.  Sekarang dah tak ada.  Sebab aku memang buat betul.  Masa tu aku dah tak fikirkan kasih sayang kau orang pada aku.  Aku tak ingatkan kasih sayang aku pada kau orang.  Hukum mesti dilaksanakan.”
Dia memandang aku seketika.
“Kalau takut janganlah buat!”
Aku cuma mampu mengangguk.  Dia menambah.
“Esok pagi Subuh seorang akan mati.  Dia mati sebab serangan jantung.  Sebenarnya dia tak mati, aku bawa ke ‘dalam’ untuk laksanakan hukuman.  Kat luar ‘mayat’ dia tu entah mayat siapa.”
Dia tersenyum memandang penuh makna.  Sudah lama aku ingin bertanya, mayat ‘Hang Tuah’, dan empat saudaranya, mayat lain yang dighaibkan itu ditukar dengan apa?  Di mana kubur lima bersaudara itu?  Ingin bertanya sudah tentu tidak dijawab.  Jika dijawab dapatkah aku memahaminya?  Sedangkan sampai sekarang, bagaimana pertukaran karektor Abang Yee berlaku tidak ku fahami.  Konsep ‘sebatang rokok’ tidak ku fahami sehingga kini.  Bila ku Tanya Asakir, dia cuma menjawab,
“tak payahlah mami fikir, otak mami takkan sampai nak fikir!”
Sakitnya hati!  Aku ni taklah teruk sangat.  Belajar sekolah menengah rendah dalam aliran perdagangan, sekolah menengah pula sains tulen, subjek kegemaranku kimia dan matematik tambahan, masuk pusat asasi sains aku belajar sains social, di Universiti Hiroshima aku mengkhusus dalam ekonomi, master dan phd ku dalam bidang linguistic, semua bidang ku ceburi, semua bidang agak cemerlang, tapi kenapa agaknya otakku masih tidak dapat memahami ‘sebatang rokok’ Tok Anjang.  Ia bidang fizikkah?  Kalau bidang fizik aku percaya takkan ku faham selamanya, kerana dalam SPM aku Cuma lulus subjek itu!  Kasihan Cikgu rahim kesayanganku.  Harapannya untuk melihat aku skor tidak kesampaian sedangkan masa itu markah fizikku adalah yang terbaik.  Aku berputus asa di pertengahan jalan kerana dalihku padanya aku tidak dapat menumpukan perhatian kepada fizik sahaja.
Aku memandang Tok Anjang semula setelah mendengar dia memarahi seorang brothers yang tertidur!
“Aku ni yang sepatutnya mengantuk sebab semalam dari pagi sampai malam, sampai pukul tiga pagi aku meeting dengan orang Arab Saudi untuk bisnes minyak.  Selepas itu aku belayar pula dengan kapal kat ‘dalam’ tu… Dahlah aku ni yang paling tua kat sini.  Dah beribu tahun umur aku, yang kau orang ni paling tua pun 55 tahun, tu pun dah macam setengah mampus!”
Senyap sunyi lagi.  Aku memandang muka Asakir.  Asakir memang jarang mengantuk jika di rumah Abang Yee.  Aku lagilah tidak pernah merasa mengantuk jika berada di situ. Kalau boleh aku pandang saja muka Abang Yee setiap masa tak berkelip.  Memang sah aku dah taksubkan orang tua tu!
“Rosya, kau ni kalau kat dalam tu aku rotan kau…  derhaka kat suami!”
Bagus juga dia selalu menyebut tentang kelemahanku.  Biar aku mengingatinya sepanjang masa.  Bahawa aku ni jenis orang tidak tahu berterimakasih terhadap kebaikan hati suami.  Namun rasanya Abang Yee tidak pernah mengetahui bahawa di dalam ketakutan aku memikirkan bahawa Asakir akan jatuh cinta pada yang lain, aku sebenarnya beberapa kali juga meminta Asakir berkahwin lain jika dia mampu.  Bukan kerana aku bencikannya tetapi kerana sayangkannya.  Cinta pada Asakir, kesabaran dan kebaikan Asakir kadang-kadang membuat aku merasa rendah diri yang amat, membuat aku merasa bersalah yang amat jika Asakir tidak bahagia.  Memang benar kata orang zaman sekarang rupa boleh diubah, tapi perangai memang sukar berubah.  Aku bukan tidak mencuba untuk menjadi lebih sabar, aku juga mula rajin ke dapur sejak akhir-akhir ini… namun jika setelah usaha ku buat dan penyakitku panas baran dan pemalas ku tidak bertambah kurang, wajar juga jika Asakir berkahwin lain.  Namun jika hari itu tiba, dapatkah aku menjadi setabah Kak Ilah dan Kak Nani?  Tidak mungkin juga.  Jika Asdakir bahagia berasama maduku, aku bolehkah bahagia juga atau aku mencemburui kebahagiaan mereka?  Hatiku memang tidak bersih.  Mata kasarku rabun, mata hatiku buta…  Jalan yang paling selamat adalah cuba mengubah diri sendiri menjadi orang yang lebih baik hari demi hari.  Sedikit tetapi tetap cuba mengawal sabar dan mulut sendiri.  Jangan lagi pandai-pandai  menawarkan ‘madu’ pada Asakir, kerana jika Asakir menerimanya, Asakir sudah tentu tidak akan memandang sebelah mata pun padaku!
Abang Yee tanpa secalit semyuman melangkah ke tangga untuk ke tingkat atas.  Lima anak tangga, dia berhenti dan tersenyum, lalu berkata,
“Elok juga dia beritahu awal-awal.  Kalau dia tak beritahu awal-awal, masa dah kaya, masa kau orang dah berzina baru dia beritahu kau orang, takut tau!  Aku pun dah rasa lega sebab dia bagitau kau orang, dia tu sapa sebenarnya..”
Entah siapa.  PA Tok Anjang.  Dulu Dior menyamar menjadi Tok Anjang, menjadi dirinya sendiri.  Mc Kenzie juga pernah menyamar menjadi Tok Anjang yang selalu masam dan bercakap orang puteh itu.   Tapi mengapa mesti menyamar guna nama Mat Saleh! Kenapa mesti guna Mat Saleh?  Kenapa tak guna nama macam Tok Wira, Yee Manja, Puma, Zaidi, Dino dan Alang? Atau lebih senang letak je nama A, B, C macam sifuku G… tidak lah anak murid yang lemah ni asyik keliru sepanjang tahun mencari nama dan memerhati setiap perbezaan gaya bahasa dan kelakuan? 
Ingin benar mengetahui nama Raine yang pernah ku sangkakan angkuh itu.  Ingin sekali bersalam dan meminta maaf betul-betul kerana pernah mengangapnya sedemikian.  “Tok Guru, minta ampun dan maaf!”  Kalau dia ada bolehkan aku pergi bersalam dan mencium tangannya?  Sudah tentulah tidak dibenarkan.  Mereka adalah kumpulan pentadbir terlatih.  Cuma Mc Kenzie yang agak peramah dan banyak menolongku.  Sejak rahsia Dior bukan lagi rahsia, Mc kenzie pula mengganti tempatnya.  Semakin banyak jigsaw yang dapat ku cantum, rupanya puzzle itu menjadi semakin lebar.  Seperti skrin yang pernah ku tonton di dimensi sana… tanpa bingkai… dan jika tanpa bingkai, sampai matipun aku tidak dapat mencantum kesemua gambar… dan benar akhirnya kata Ayahnada Yee manja pada ku suatu ketika dulu sewaktu aku berikan naskah Entusiasku.  Katanya padaku,
“Rosya, kalau kau tulis cerpen ni sebanyak enam lagi, maka aku janji engkau takkan habis-habis menulis…ada saja cerita yang boleh kau tulis… percayalah cakap aku!”
Masa itu aku tersenyum.  Dalam hati aku begitu gembira kerana jika itu janji Yee Manja, ia akan menjadi benar.  Selepas itu aku menulis cerpen baru sebanyak enam buah, ku sudahkannya dalam masa kurang dari sebulan.  Sambil menulis Abang Yee, aku menulis cerpen pelbagai tema yang lain.  Kini aku hanya menunggu ia diterbitkan.  Aku berterimakasih yang amat pada Yee Manja dan Abang-abang Yee yang sentiasa memberi galakan dan semangat agar aku terus menulis.  Kerap juga mereka memujiku bahawa penulisan ku bagus, aku cuma mampu bangga diri walau tidak ku ketahui pujian mereka ikhlas atau tidak. Rasanya aku tidaklah sebagus itu, ku agak mereka sengaja memuji agar aku terus menulis.  Dan mungkin ada rahsia tersembunyi kenapa aku harus menulis.  Mungkin ia sebagai satu bentuk terapi untukku.
Abang Yee menuruni tangga sambil tersenyum-senyum dan mendepakan kedua tangannya kepada Kak Ilah.  Kak Ilah bangun dan memeluk Abang Yee.  Yee Manja.  Dia mencium kedua belah kiri dan dahi Kak Ilah dengan penuh kasih sayang.  Kami cuma tersenyum.  Dia memandang aku. 
“Jangan risau Rosya… Wanis aku jaga kat dalam tu.  Sehari dua lagi baliklah dia.  Berjaya juga kau lepasi ujian kami.  Gang of Thirteens.   Tapi dua orang anak buah aku kena sebat seratus kali kerana ambil Wanis tanpa kebenaran Dior.  Aku kena sebat dua ratus kali…”
Abang Yee tersenyum pahit.  Aku menangis.  Sepatutnya Yee Manja telah tahu hukuman yang diterimanya jika membuat sesuatu tanpa kebenaran Tok Anjang.  Bukannya Yee Manja tak pernah kena hukuman.  Pernah juga dia dikurung oleh Tok Anjang.  Dah tahu Dior sentiasa laksanakan hukuman tanpa memilih ikatan persaudaraan dan persahabatan kenapa cuba-cuba juga mengambil risiko?   Simpatiku pada Yee Manja melimpah ruah sedangkan dalam masa rasa hormat pada Dior menyebabkan aku semakin kagum akan ketegasannya dalam menjalankan hukuman.  Sungguh sukar rupanya menjadi seorang Raja yang adil.  Dan Yee Manja sungguh sayangkan Ikhwanis sehingga sanggup mengambilnya walau pun mengetahui bahawa dia akan menerima padah.
“Kenapa Abang Yee ambil dia… tak pasal-pasal kena sebat…”
“sajalah nak uji kau ni!  Kau kata sayang aku… nak test betul ke sayang aku!”
“janganlah test guna cara tu!”  Aku masih lagi menangis walau pun nada suaraku bertambah tinggi.  Famili tersenyum memandang aku.  Ia bukan lucu!  Tak pasal-pasal Yee Manja kena sebat dan tak pasal-pasal aku memaki hamun orang bunian dalam masa dua minggu ni.  Dan tak pasal-pasal Asakir hampir gila dibuat mereka.  Ahh!  Geramnya.
Abang Yee lantas mencium pipi ku.  Aku mencium tangannya.  Aku memeluknya kerana terlalu rindukannya.  Sukar digambarkan perasaan seorang anak yang menyayangi seorang bapa.  Kenapa dulu aku tidak pernah memeluk arwah ayahku?  Kenapa arwah ayah tidak pernah memelukku?  Tentu perasaan kasih seorang anak dan bapa juga seorang ibu akan lebih halus dan mesra jika saling berpelukan menyatakan sayang dan hormat.  Lama aku memeluknya dalam tangisan.  Entah berapa lama kemudian, dia menjauhkan diri dan kemudian menatap aku sambil tersenyum,
“Aku guru ke engkau guru?”
“Papa Ikhwanlah!”
“dah tu tak yah kau banyak cakap… Taulah aku, aku nak buat apa!”
“Degil betul.  Patutlah Papa Dior selalu berleter…”
Aku berkata perlahan.  Papa Ikhwan memasamkan muka.
“Kau tak payah nak sokong dia.  Aku ni yang jaga kau… jaga anak kau masa dalam perut dulu…  yang lain menyusahkan engkau.  Aku ni saja yang sayangkan kau!”
Aku terdiam tidak berani menentang lagi.  Ayahandaku yang itu suka merajuk.  Dan rajuk itu membuat aku serba salah.  Dan sesekali aku merasakannya sikapnya yang nakal itu sebenarnya amat ‘comel’.  Mesti Tok Anjang akan marahkan aku sekiranya dia tahu aku mengatakan perangai nakal Yee Manja ‘comel’ sedangkan dia sakit kepala setiap kali memandang Yee Manja atau anak didik Yee Manja Gang of Thirteens.  Macam-macam yang pernah dibuat oleh Gang of Thirteens dan ketua teratasnya Yee Manja dan Rafael.
Anak Kak Ilah yang menjadi anak emas Yee Manja di ‘dalam’ pernah melarikan diri dari Tok Anjang sewaktu melihat rotan di tangan.  Dia berlari sehingga orang tua itu keletihan. Bila Tok Anjang keletihan barulah dia berhenti, namun pada masa itu tiadalah kuat tenaga Tok Anjang lagi.  Tok Anjang tetap menyebat juga tetapi tentulah sebatannya tidak segagah sewaktu sebelum anak itu berlari sekeliling istana.  Lucu aku memikirkan.   Aku pulang ke rumah setelah jarum jam menunjukkan angka dua pagi.  Sepanjang perjalanan aku pertama kali merasa insaf dan hormat dan buat pertama kali juga aku merasakan menyedari Abang-abang Yee ku itu manusia yang bagaimana. 


No comments:

Post a Comment