catatan peribadi ryina ikhwan

Ikuti catatan peribadi ryina ikhwan di http://ryinaikhwanroslina.blogspot.com/

Friday 24 June 2011

Bahagian 20: Menembusi dimensi

: Malam itu aku pulang dengan perasaan yang sukar digambarkan.  Rinduku pada Papa Dior sudah terubat, walau tidak pasti dia keluar atau tidak pada hari itu.  Rindu yang masih berbaki pada G juga telah terubat tatkala mengetahui hakikat sejauh mana dia berada, walau dimensi berlainan, dia tetap di situ memerhati, menyokong dan mengambil berat.  Tidak ku sangka dia hadir setelah berapa lama aku keliru dan sangsi akan kewujudannya.  Rupanya dia tidak meninggalkanku, walau pun dia sudah melepaskan tanggung jawabnya menjaga aku. 
Dan papa Dior tetap mengambil berat walau dia tidak perlu berbuat begitu.  Walau kehadirannya tidak pernah memandang anak mataku, walau seolah tidak mempedulikanku.  Sms yang terakhir setelah aku mengucapkan terimakasih melalui sms,
“rosya, uve been so vry kind 2 me n everbdy.  Pa harap kau jagalah suami serta anak2 lelok.  Timba segale ilmu dri d yees n praktikkan yang elok. Bye.”
Aku sudah berhenti menangis.  Sudah boleh ceria entah untuk berapa lama lagi.  Mungkin seminggu mungkin juga sebulan…  Papa Dior setiap kali membalas sms tidak pernah lupa berpesan agar aku menjaga suami dan anak-anak.  Sudah lama aku sedar akan keprihatinannya.  Namun sms yang terakhir itu menyebabkan aku lebih sedar betapa dia serius ketika dia berpesan itu.  Betapa seriusnya dia supaya aku menjaga hubungan suami isteri.  Dan malam itu dalam keletihan aku mencuba sebaik mungkin mengurut Asakir mengikut urutan Papa Dior yang diajar oleh Sifu Le’ Mante, Abang Yee yang muda belia dan berasal dari Peranchis itu!  Hadiah Papa Mc Kenzie kepada suami-suami!  Ah!  Aku rindukan Papa Dior lagi, ketika dia membaca novelku sambil tiba-tiba ketawa kecil kerana kelucuan membaca baris ayat.  Dia masih sempat juga menutup mulutnya ketika dia ketawa itu!  Seriusnya dia membaca sambil jari telunjuknya bergerak sebaris demi sebaris ayat-ayat di dalam manuskrip.  Cutenya dia, masih boleh ketawa kecil walau berlagak serius dan menakutkan aku!  Padan dengan muka dia. Akhirnya dia ‘tewas’ juga dengan ayat-ayat aku di dalam manuskrip!  Kalau dia mengetahui bahasa Jepun, ingin ku katakan ‘sunaoni natte!  Ikura kirawaretemo Papa no kotoga suki dakara!  Ikura kibishiku shitemo, suki dayo!’1
Ketika aku kebosanan dan keletihan di pejabat, kadang kala aku menatap lukisan yang dilukis oleh Abang-abang Yee di dalam komputer.  Lukisan yang dibeli oleh Kak Khalisa dari Abang Yee dilukis oleh tujuh orang artis bunian.  Pada mulanya aku tidak nampak apa-apa sekadar sebuah lukisan cantik yang mengandungi pokok-pokok dan berlatar belakangkan langit.  Cantik dan bercahaya warna langit yang kebiruan dan sedikit ungu.  Namun suatu hari entah kenapa, mungkin kerana mata hati sudah terbuka sedikit nampak olehku, gambar kanak-kanak di langit.  Comelnya kanak-kanak lelaki itu, berkulit putih dan berparas wajah seperti anak Mat Saleh.  Ku renung gambarnya tanpa jemu.  Ku besarkan gambar sebanyak 150% dan nampak dengan jelas beberapa orang perempuan cantik di dalam pokok.  Pada beberapa hari selepas itu aku masih lagi meneliti gambar anak itu.  Memang comel.  Dan gambar wanita bertambah jelas kelihatan, berkulit putih bersih dan tinggi lampai.  Ku nampak juga beberapa pasang mata seperti mata manusia dan ada yang seperti mata harimau bulat dan menakutkan. Sekali sekala aku berbicara dengan potret-potret itu.  Dan aku terpaksa berhenti sementara pekerjaan itu apabila suatu senja melihat gambar itu seperti berkelip!  Selama hampir sebulan aku melupakan terus gambar tersebut.  Sehinggalah suatu ketika aku aku yang kebosanan menunggu waktu ke kuliah membuka fail gambar tersebut.  Gambar kanak-kanak comel itu sudah hilang, walau pun beberapa pasang mata dan wajah-wajah wanita bunian masih jelas kelihatan.  Aku memerhati hampir setengah jam sehingga aku terjumpa ‘lost city’ di balik pokok.  Wajah kanak-kanak lain ku temui.  Wajah siapa?  Tidak seperti kanak-kanak Mat saleh, dia seperti anak Melayu dan muka sedikit tembam.  Aku saat itu juga mengharapkan anak itu adalah Nor Ikhwan, anakku kembar Anis.  Namun tidak mungkin juga.  Wajahnya tidak sejelas anak pertama yang ku temui.  Aku kecewa yang amat.  Ingin sekali segera membersihkan diri dan menyucikan hati supaya diterima stargate.  Bukankah kata Abang Yee dia boleh benarkan kami masuk ke dalam, asalkan kami bersih fizikal dan mental?  Dan bukankah kata Abang Yee kalau kami masuk ke dalam, kami dengan sendiri akan mengenali dan bertemu dengan sanak saudara kami serta dengan semua manusia bunian yang pernah berinteraksi dengan kami.  Dimensi…  dunia sana tidak akan habis kami terokai…  Sekali sekala aku menatap juga gambar Papa Yee Manja semasa mudanya yang ku lekatkan pada whiteboard di bilik pejabatku… serta gambar Alang.  Mereka berdua memang berwajah Mat Saleh.  Pelik!  Kenapa mesti mereka berwajah seperti Mat Saleh?  Kerana cuaca di sana sejukkah?  Pernah Abang Yee berkata,
“Kau masa menyusukan Anis, cuba bayangkan Ikhwan, anak yang lagi satu itu,  kau akan dapat tengok dia bergilir dengan Wanis menetek! Kalau hujan rintik-rintik dia akan keluar sebab masa hujan suhu sejuk… sama suhu seperti kat dalam…”
Bukan!  Bukan kerana suhu sejuk!  Terlupa aku bahawa yang sebenarnya manusia ini dicipta berbagai-bagai bangsa.  Kenapa aku melupakan hakikat bahawa bukan ‘Melayu’ dan ‘Islam’ sahaja yang menjadi makhluk di muka bumi ini.  Terlupa aku bahawa yang sebenarnya Abang-abang Yee ku ini adalah manusia berbagai keturunan dan bangsa.  Bahawa Abang Yee bukan orang Melayu dan Arab sahaja.  Ada yang dari Afrika dan India! 
Anak! Taukah mami amat rindu… ingin sekali memeluk dan mencium walau pun sekali.  Tidak bolehkah datang di dalam mimpi?  Sihatkah tubuh badannya?  Sempurnakah fizikalnya?  Nakalkah dia?  Kau memang bertuah berada di alam sana.  Dunia yang dikuasai Islam.  Dunia yang mengamalkan undang-undang Islam.  Pemerintah yang adil dan bijaksana.  Ada ramai manusia zuhud di alam sana.  Duniamu tidak melihat kekejaman manusia seperti dunia di sini.  Dunia mu tiada peperangan sesama manusia, tiada kebuluran, tiada kepincangan.  Dunia mu dipenuhi ilmu.  Duniamu ada tentera berkuda yang berperang demi menyelamatkan dunia Islam di luar dan ‘dalam’.  Dunia mu ada kapal angkasa, yang boleh terbang ke seluruh cakerawala.  Dunia mu berkomunikasi melalui frekuensi dan telepati.  Pemimpin mu boleh bertelepati sejauh dimensi mu dengan Planet Pluto!  Duniamu boleh bermesyuarat menggunakan telepati walau jasad berada di berlainan planet.  Dunia mu ada Osama Bin Laden.  Papaku yang serius itu, yang menjalankan hukum tanpa megira tali persaudaraan dan persahabatan.  Anak… hidup mu lebih beruntung di sana.  Doakan mami menjadi ibu yang baik dan isteri yang taat… semoga mendapat berkat Allah dan semoga kita dapat berjumpa walau pun cuma sekali seumur hidup ini.  Dan semoga kau menjadi anak yang taat menjadi seperti papa-papa mami… penuh ilmu tetapi rendah diri dan rendah hati…
Pelik sungguh!  Semenjak tanpa disangka dan diduga G datang menjenguk aku, setiap saat aku asyik terfikir untuk menyiapkan novel ini.  Entah apa yang dibuat pada otakku, namun itulah hakikatnya.  Penyelidikan fakulti tahun lepas belum lagi siap sepenuhnya, proposal penyelidikan pada tahun ini yang ku hantar secara tidak serius itu rupa-rupanya diterima juga.  Penulisan bab dalam buku belum selesai, penulisan buku belajar bahasa Jepun sudah lama tidak ku jenguk, kenapa pula hati bagai diragut-ragut mahu menulis juga.  Apa yang dibuat oleh G kepada otakku?  Dia telah menghantar ferkuensi supaya aku terus menulis?  Malang sungguh dia tidak dapat membalas sms ku walau aku sering menghantar padanya.  Dia boleh menerima smsku kah?  Ah!  Hanya G yang baik hati sering memanjakan aku, membalas pertanyaanku tentang bunian walau acap kali memperbodohkan aku.  Kini tiada siapa mahu melayan aku.  Papa Dior, Mc Kenzie, Raine apatah lagi!  Papa Yee Manja pula sudah tidak dapat menerima sms dari kami lagi.  Sekali sekala ada seorang Abang Yee yang muda belia membalas sms ku, tapi dia juga memperbodohkan aku.  Soalanku tentang bunian tidak dilayan.  Dia lebih suka memberitahu aku tentang undian dan pencalonan dalam kategori-kategori yang brutal. Sisters yang mempunyai buah dada paling besar, yang paling seksi dan entah apa-apa yang membuat aku ketawa gelihati tidak sudah.    Aku turut mengambil bahagian dengan mencarut sekali agar dia akan ‘ter’balas sms ku tentang bunian, tapi dia tidak seperti G.  Tidak langsung terbabas dengan taktik aku!  Tidak makan saman!  Hanya G yang baik hati…
Abang Yee yang muda itu setelah suatu hari aku menghantar sms yang berbunyi,
“Boring betul d yees tak layan ni! Macam tahu je org nak korek rahsia! Uwaaa! Tension tahap maksima!”, membalas,
“Keh keh keh tau pun, sorry kita sibuk skang ni.  Nak kencing pun kena simpan dulu u.  Takut nak balas sms nanti kena potong! Bye ”
Geramnya!  Pernah Papa Mc Kenzie memberitahu,
“Dia orang dah takut nak bersms dengan kau!  Asyik nak korek rahsia je dia orang kata… Bila masuk mesej kau terus dia orang pass sesame dia orang, takut nak balas… sebab bila dia orang balas kau tanya lagi…nanti dia orang tak dapat siapkan kerja dok balas sms kau!”
Apalah masalahnya?  Jahat betul dia orang ni.  Ke dia orang takut aku jatuh cinta lagi seperti aku jatuh cinta pada G?  Tak  mungkin.  Takkan aku semudah itu untuk jatuh cinta.  Dan tak mungkin benar aku pernah menyintai G.  Dan takkan aku berani mengucapkan kata cinta pada G itu.  Dan dalam keadaan sekarang, kerana sayangku pada papa Dior dan Mc Kenzie tak mungkin aku jatuh cinta pada bunian!  Cintaku pada mereka cinta sesama makhluk… cinta seorang perempuan kepada seorang lelaki yang ku anggap sebagai seorang bapa.  Dan bukan aku seorang yang menganggap Abang Yee sedemikian.  Sisters pun sama.  Berebut untuk menarik perhatian Abang-abang Yee, menumpang kasih pada ‘suami’ orang.  Agaknya bagaimana perasaan perasaan permaisuri-permaisuri abang-abang Yee di dalam melihatkan sayang dan cinta yang berlebihan kami kepada suami-suami mereka.  Kalau aku yang berada di tempat mereka, mungkin aku keluar, merupakan diri sebagai mawas lalu melompat atas katil menakutkan sisters yang tak sedar-sedar diri terlebih sayang pada suami orang!  Tapi permaisuri-permaisuri itu tidak akan cemburukan kami… kecantikan, ilmu dan sifat baik mereka tidak akan terbanding dengan sifat kami yang masih tak sedar-sedar diri!  Jauh bumi dengan langit!  


Tuesday 14 June 2011

Bahagian 19

Janjiku pada Abang Yee, pada Dior adalah untuk tidak melangkaui jarak dan sempadan antara aku dan dia.  Akhirnya aku robekkan jarak dan sempadan itu.  Jarak dan sempadan yang ku lakar sendiri bagi memisahkan aku dan Abang Yee agar dirinya tidak terlalu ku sayangi.  Namun sayang, ia masalah hati dan perasaan.  Ku lakarkan jarak, jarak antara aku dan Abang Yee agar aku tidak terlalu dekat dengan dirinya.  Ku lakarkan sempadan agar aku tahu akan diriku siapa, dan dia pula siapa… dan kedua-duanya aku robohkan.  Kini aku sedang menghukum diri sendiri.  Tidak perlu Abang Yee menghukum aku seperti mana dia menghukum beberapa orang sisters sebelum ini.  Mereka di larang datang ke rumah Abang Yee dan dilarang membuka mulut sewaktu di rumah Abang Yee.  Kini aku pula menjatuhkan hukuman pada diri sendiri.  Aku tidak boleh ke rumah abang Yee dan tidak boleh bersms dengannya lagi.    Ia lebih baik daripada aku menganiayai diri sendiri dan menyusahkan Abang Yee.  Lebih baik aku memikirkan rumah tanggaku dan anak-anakku, lebih baik menjaga makan minum suami seperti yang selalu diminta oleh papa Dior . 
Bukan mudah melakukan semua itu.  Hati melonjak-lonjak ke Subang Jaya menghadiri majlis hari jadi Kak Ilah, namun apa daya.  Semua tidak kena.  Pergi salah dan tidak pergi juga salah.  Aku tidak mempunyai wang untuk membeli sebarang hadiah, dan tiada apa yang dapat ku masak kerana sisters meminta potluck.  Tiada lauk di rumahku, tiada bekalan makanan yang boleh ku kongsi bersama yang lain.  Bulan ini aku memang daif.  Mahu mencari duit untuk membayar road tax dan insuran kereta Gen2.  Nampak gayanya aku terpaksa menumpang kereta kancil suami untuk beberapa bulan ini.  Ingin menghantar sms pada Abang Yee memberitahu aku tidak dapat hadir namun apa alasanku?  Ingin menghantar sms pada Kak Ilah meminta maaf tetapi dapatkah Kak Ilah menerima?  Ingin menghantar sms pada Kak Khalisa namun adakah aku akan dipercayai?  Bukan aku tidak tahu ada dari mereka berkata aku dan suami banyak duit kerana duduk di rumah banglo dan ada  dua lagi rumah.  Kereta ada tiga buah.  Mereka tidak tahu rumah sebuah lagi itu sudah lama tidak berbayar… tidak tahu Citroenku sudah hamper setahun mati tidak berganjak dari porch… tidak tahu aku mengambil kereta Kancil abangku kerana abangku tidak mampu membayar dan kerana kasihankan Asakir yang berjam-jam menunggu bas dan keretapi?  Mereka tidak tahukah aku juga kalau boleh ingin bergaya dan bersolek seperti mereka jika aku mampu?  Kak Mun dan Suraya setelah dimaki hamun Abang Yee kerana terlanjur mencampuri urusan pejabat telah menempah bilik hotel semata-mata untuk menangis bersama, mengenang nasib diri! Dan setelah memasuki bilik boleh lagi menukar bilik kerana bilik yang mereka masuki kecil!  Ah!  Kerja gila dan kerja bodoh!  Membazir duit!  Lebih baik diberi kepada anak-anak mangsa tsunami atau derma melalui sms kepada anak-anak malang dalam rancangan “bersamamu” TV3.  Akhirnya aku mendiamkan diri walau tahu Abang Yee akan ‘memerhatikan’ tingkah laku…  Lebih baik aku mendiamkan diri seketika.  Terlalu banyak sebab untuk aku berbuat demikian.
Bilakah hukuman ini akan tamat?  Jawapannya ku ketahui benar.  Setelah aku tidak lagi terlalu menyayangi Abang Yee.  Setelah aku dapat menerima Abang Yee sebagai ketua dan bukan sebagai seorang yang istimewa.  Setelah aku tidak lagi menginginkan perhatian yang berlebihan dari Abang Yee.  Bukan mudah, namun itu sahaja pilihan yang aku ada.  Dan untuk itu sekarang ini aku sibuk dengan penulisan buku-buku akademik dan penulisan kreatif.  Ia banyak membantu untuk aku melupakan Abang Yee dan famili buat sementara waktu ini.  Bukan selamanya.  Kerana aku tidak ingin  kehilangan Abang Yee.  Aku tidak ingin kehilangan papa-papa ku… Dior, Mc Kenzie, Yee Manja, Raine, Dino, Puma. Zaidi dan nama-nama lain yang tak mungkin ku tulis semua… Aku telah kehilangan Alang, G, Rafael dan semua Gang of Thirteens…  Aku tidak ingin kehilangan papa-papa yang lain lagi… 
Hati berkobar-kobar untuk menjauhkan diri buat sementara.  Aku memadamkan nombor telefon Abang Yee, kerana setiap kali memandang telefon aku ternyata ingin sekali menghantar sms dan bertanya khabar Abang Yee.  Ku padam nombor telefon namun aku mengharapkan sms Abang Yee juga.  Menanti setiap waktu Abang Yee menghantas sms.  Empat hari aku seperti cacing kepanasan tidak boleh duduk diam asyik mengharapkan bunyi nada mesej.  Bila ada bunyi aku cepat-cepat menekan dan ternyata ia bukan dari Abang Yee.  Dari Asakir atau Sisters.  Tidak ku balas sms sisters.  Seorang sisters bertanya, mahukah orang berkongsi membeli hadiah bersamanya.  Sakit hatiku! Dia tidak tahu aku anak beranak hari itu cuma makan nasi goring ‘bodoh’!  iaitu nasi goreng tanpa lauk dan sayur.  Cuma ada telur!  Dua tiga bulan ini memang telur menjadi menu utama… telur goring, telur rebus, telur masak lemak, telur masak sambal, telur campur ikan sardin, telur mata kerbau…
Dan pada suatu tengahari mendapat mesej dari sisters, Abang Yee menjemput kami ke rumah.  Aku keliru.  Aku tidak ingin menyakiti Abang Yee.  Aku tahu aku seperti tidak menghormatinya apabila tidak hadir semasa harijadi ‘isterinya’.  Sedangkan ku tahu parti itu dibuat dengan mengejut oleh sisters., tanpa diketahui Kak Ilah.  Aku juga tahu Abang Yee tidak mungkin memarahi aku kerana tidak memberi Kak Ilah sebarang hadiah.  Malah Kak Ilah juga tidak akan berkecil hati jika tidak mendapat hadiah dariku.  Namun apa daya, aku ada perasaan malu… tidak sanggup makan dan minum hasil duit sisters, dan tidak mahu memandang saja semasa orang semua memberi hadiah pada Kak Ila.  Kalau ku beri hadiah, hadiah yang mampu ku beli mungkin cuma berharga dua puluh ringgit… adakah ia akan dihargai?  Sedangkan ku tahu mereka semua berduit kecuali Kak Imah dan Halimah… Ahh!  Semua tidak kena…
Kenapa aku tulis semua ini?  Untuk memburukkan sisters?  Untuk mendedahkan keburukan diri aku?  Menyatakan perangai aku yang buruk?  Kerana aku cemburu? Dengki atau kecil hati?  Supaya Abang Yee memaki hamun aku?  Tidak juga.  Aku sebenarnya sekadar ingin mengingatkan diri sendiri agar ku fahami kesusahan orang lain, agar aku memahami suatu hari nanti supaya merancang dan melakukan sesuatu itu biarlah mengambil kira semua hal… Dan agar aku sentiasa ingat aku ini manusia yang bagaimana. 
Dalam kemurungan pada hari itu aku meminta nombor terlefon abang Yee dari Asakir.  Ku tulis mesej kepada Abang Yee,
“sorry tapi tak boleh pergi, saya ingin bermain dengan anak… semalam dah tinggal mereka seharian..”
Memang benar, pada hari sebelumnya hari sabtu aku ke UPM  menyiapkan penulisan artikel untuk penerbitan buku. Dan memang benar aku terasa Anis begitu sekali ingin bermanja dengan ku.  Dia seperti tidak mendapat kasih sayang dan kemanjaan yang secukupnya dariku.  Tiada balasan segera dari Abang Yee, aku pasti Abang Yee marahkan aku.  Dia pasti marah jika aku tidak hadir.  Dia mahu aku bersama sisters, berkumpul bersama dan bertukar ilmu yang telah dipelajari sebelum ini.  Namun akhirnya Abang Yee membalas, papa Mc Kenzie,
“Mailah SJ! Tak syoklah engkau tak ada mailah!”
Gembira kerana Abang Yee masih mahukan aku pergi.  Aku sebenarnya keberatan juga hendak pergi.  Takut aku akan ditibai oleh Abang Yee kerana memencilkan diri, atau takut dimarah Papa Dior kerana aku berani menghantar sms mengatakan aku rindu.  Namun tak mungkin juga aku derhaka sekiranya Abang Yee masih sanggup mengajak aku ke situ. 
Aku tiba di SJ dengan rasa rendah diri yang amat.  Akhirnya ku tahu bagaimana perasaan orang terhina kerana tidak berduit, kerana tidak menghadiri majlis orang.  Aku keluh kesah pada awalnya untuk bercakap dengan Kak Ilah dan Suraya.  Aku merasa begitu terpinggir, walau pun sebelum itu aku telah menghantar sms pada kak Ilah dan Kak Ilah juga telah menyatakan memahami keadaanku.  Rasa rendah diri membuat aku seperti ingin melarikan diri.  Ingin menangis sendirian di suatu sudut di rumah itu.  Aku ingin segera pulang ke rumah, namun tidak sampai hati memberitahu.  Abang Yee berlagak selamba walau mungkin dia mengetahui kemelut perasaanku.   Ternyata dalam kemiskinan yang dilalui selama empat tahun ini, itulah kali pertama aku merasa rendah diri dan terhina pada sisters.  Kali pertama aku tersedar bahawa semiskin-miskin sisters yang bekerja dan dan sisters yang bersuami tetapi bekerja di syarikat lain, tidak menempuh saat seperti aku.  Bukan aku tidak berduit langsung di tangan atau bank.  Tetapi aku memikirkan perbelanjaan yang mendatang, mencukupkan sebulan gaji begitu terseksa. Kerana ku tahu adik beradikku tidak berharta.  Kawan-kawan ku tiada yang akan meminjamkan wang sekiranya aku susah!  Kalau aku habis langsung wang di tangan, meminjam dari adik beradik adalah suatu perkara yang tidak pernah terfikir oleh otakku.
Agak lama sebelum aku dapat menyesuaikan diri.  Terasa benar aku sememamngnya menyayangi Abang Yee ketika aku dan Moly mengurut tulang belakang Papa Mc Kenzie.  Perasaan yang sama ketika aku dan Suraya mengurut Papa Dior.  Sedih memikirkan aku ini serba kekurangan, banyak kelemahan, sentiasa merasa diri terpinggir dan tiada sebarang kepentingan.  Saat itu juga aku memikirkan tentang sifu ku G.  G memahamikah apa yang ku telah ku rasai sepanjang masa empat tahun ini.  Dia tahukah betapa ingin sekali bertemu dengannya tatkala ini?  Sudikah dia memaafkan aku kerana telah terlanjur menyintainya?  Adakah ingatannya terhadapku masih padam… segelap kenanganku padanya.  Mungkin kalau G hadir aku boleh berkongsi dan meluahkan perasaan yang terbuku… perasaan sayang pada papa-papa ku yang bukan sebarang manusia, perasaan untuk mengenali dirinya yang telah terpadam? 
Kenapa G membuat aku jatuh cinta?  Sampai hati G membuat aku begini.  Dia  sengaja pergi dari ku.  Dia sengaja meninggalkanku setelah menyedari aku terjatuh cinta.  G memang jahat! Dia kan ahli G13? Sudah semestinya dia tidak merasa apa-apa akan kebencian ku padanya.  Tetapi aku ini tetap rindu, walau dia telah berpaling dariku.  Senyumannya, pandangannya serta sms nya yang membayangkan cinta dan rindu padaku.  Usapan lembut jarinya sewaktu membaca manuskrip novelku… semua itu untuk apa?  Papa-papaku tahukah apa yang G telah buat pada ku?  Sebalnya tidak tertanggung.
Saat air mata ingin menitis keluar, aku menuju ke arah sisters dan berlagak selamba cuba mengambil tempat di dalam perbualan mereka. Aku turut sama mencari gambar yang menunjukkan imej dunia bunian.  Ketika aku sedang asyik memerhati gambar-gambar yang dirakam oleh kamera Kak Khalisa yang dengan jelas terakam sama gambar Papa Yee Manja dan seorang lelaki yang tidak ku kenali, gambar seorang pemaisuri dan anak-anak Kak Ilah, aku sekali sekala memerhati Abang Yee… mana tahu kalau Papa Dior keluar.  Mata akhirnya berpandangan.  Dia memanggilku.  Aku duduk di lantai sedangkan dia duduk dengan payah di kerusi?  Papa Dior kah itu?  Dia sakitkah?  Atau Papa Puma, Papa Zaidi atau Papa Dino?
“Kenapa kau berhenti menulis, Rosya?”
“Tak… masih menulis.. sekarang pun menulis novel kedua…”
Suaranya begitu perlahan.  Aku memasang telinga.
“jangan berhenti menulis… sayang kalau berhenti.. kau ada bakat…”
“Sifu kau tak ada, but you must write by your own now…”
Aku cuma mengangguk.  Fikiranku yang melayang kepada G rupa-rupaya telah dihidu papaku.  Frekuensi yang kuhantar pada G dipintas oleh bunian yang lain.  Malunya aku.  Tetapi aku bahagia kerana papaku yang ini memahami.  Wahai! Cinta bunian siapakah yang tega tanpa jatuh cinta separuh gila? 
“tapi jangan tulis pasal Yee Manja saja… dia tu kalau boleh nak tulis pasal dia saja…”
Dia tersenyum.  Aku melihat senyumannya.  Terasa diri disayangi dan dihargai.  Aku kalau boleh tidak mahu berganjak dari situ, ingin terus menatap wajah papa ku itu, walau siapa pun dia… namun ku sedar diri… Aku berkata,
“Tapi saya tulis juga sedikit pasal Yee Manja dalam cerpen…. Nak bodek…”
Ah! sebenarnya bukan ingin membodek, aku ingin menghiburkan.  Ku tulis cerita lawak tentang Yee Manja agar dia terhibur sedikit di alam sana.  Dalam masa yang sama kalau cerpen itu dapat menghiburkan Abang-abang Yee di luar yang sedang sakit kepala memikirkan strategi syarikat bagi mengumpul dana.  Dia tersenyum lucu dan aku bangun meninggalkannya setelah merasa tiada lagi apa yang ingin dikatakannya padaku. 
Ketika aku sedang asyik mendengar percakapan sisters, Abang Yee bertanya,
“Sifu kau tak hantar sms kat kau Rosya?”
“Tak ada…”
“Kau hantar sms dia tak balas?”
“Tak balas langsung.”  Jawabku tersengih.  Aku ingin menangis sebenarnya!  Aku menderita kerana sifuku.
“Abang Yee bagi saya sifu baru boleh tak?”  Aku melawak.  Yang sebenarnya aku pasti tiada siapa dapat mengganti sifuku itu.  Banyak budi yang dihulurkannya.  Sejak dia mengurutku, aku tidak lagi diserang sakit kepala yang teruk, kesakitan di tulang belakang juga sudah berkurangan, hubungan suami isteri dengan Asakir juga bertambah baik selepas aku mengikut nasihatnya.  Novelku banyak didorong oleh dirinya.  Setiap kali aku membayangkan sifuku maka hati meronta mahu menulis.  Tidak dapat aku menggambarkan rupanya walau pernah berjumpanya di alam mimpi.  Orang yang bagaimanakah dia? 
Abang Yee datang menghampiri kami yang masih memandang gambar super imposed bunian. 
“Tak boleh percaya ini… nampak saja pakai serban… tak boleh caya tengok serban je!”
Katanya tersenyum.  Mc Kenzie! Dia mengutuk Yee Manja.  Aku tersenyum.  Mentang-mentang Yee Manja dah tak boleh keluar, ikut sedap mulut dia mengata papaku yang itu.  Aku mengeleng kepala kerana tahu apa yang dikatakannya memang benar.  Papa Yee Manja itu memang manja dan comel tapi nakal… yang amat!  Dan kerana itu aku memang sayangkan dia.  Perangaiku pula taklah ‘seteruk’ Yee Manja, tapi memang aku ni juga manja walau pun tidak comel.  Wanis anakku itu memang mengikut perangai Papa Yee Manja, comel, cerdik, manja dan nakal.  Semakin menjadi-jadi ku lihat manja dan comel Ikhwanis.
Dia kembali ke kerusi dan aku tatkala itu memandang matanya. 
“Rosya!”
Aku bergegas ke depannya duduk bersimpuh.
“Kenapa tak tulis novel lagi?”
Aku menggaru kepala.  Tadi pun sudah ditanya.  Hah bosannya… asyik jawab soalan yang sama.. asyik-asyik tentang novel, sedangkan banyak lagi urusan di pejabat tidak ku laksanakan kerana kesuntukan masa.
“Tulis…  Dah tulis pun…”
“Berapa banyak dah tulis?”
“hmmm..single spacing 40 lebih…”
Dia diam dan aku memandang mukanya.  Wajah yang serius… kelihatan lebih muda, berlagak seperti seorang abang yang mengambil berat.
“Tau aku siapa?”
Aku terdiam seketika.  Aku masih memandang.  Dia merenung aku.
“Tak…”
Wajah yang kecewa… dan pandangan mata itu… sesaat baru aku sedar dia itu siapa.
“Sifu?”
Dia tersenyum sedikit.
“Sifu?”  Kali ini suaraku lebih kuat.  Bagai tidak percaya orang yang aku rindui, yang pernah ku tangisi saban malam berada di depan mata.  Dia mengangguk.  Bahagia ku rasakan meresap ke seluruh sanubariku.  Sudi juga dia datang menjenguk aku.  Mungkin kerana sangkanya aku sudah berhenti menulis.  Datang semata-mata kerana ingin memberi aku kekuatan.  Dia masih risau akan diriku rupanya, walau sudah meletakkan noktah terakhir kepada ku. Dia masih sudi mengaku aku muridnya walau dia sudah bergelar Haji, walau perangai aku sebegini buruk.  Ah! Mungkin juga dia datang atas arahan papa ku tadi.  Sengaja ingin mengubat luka dan duka kerinduan seorang sifu yang telah tersalah anggap sebagai seorang kekasih.  Baiknya papaku menghadiahkan aku kehadiran sifuku sebagai menceriakan aku yang telah sekian lama bungkam dan menyendiri tidak mahu bercampur dengan sisters.
“Ingatan Abang Yee tak kena delete ya?”
Aku bertanya tanpa menyangka.  Air mukanya berubah.  Tersilap kata.  Aku menyesal.  Dia tersenyum memandang muka ku yang merasa bersalah namun tidak membalas pertanyaanku.    Kenapa air  mukanya berubah tatkala aku bertanya tentang memorinya bersamaku?  Adakah dia sudah lupa akan kenanganku bersama dia, saling menghantar sms rindu dan cerita lucu yang kemudian menjadikan hubungan kami semakin mesra dan seterusnya menyimpang daripada hubungan sifu dan murid?
Thank you sudi datang…”  Kataku sepatah.
Dia mengangguk tanda dia akan kembali ke dalam.  Aku segera beredar.  Puas hati dia datang berjumpa dan sudi bertanya khabarku.  Baiknya dia, walau tahu aku kehilangan kabanyakan ingatanku padanya masih sudi juga keluar walau sekejap… walau kesakitan… kerana tubuhnya seperti Yee Manja juga… molekul sudah tidak sama… terbakar sedikit demi sedikit jika menghadirkan diri ke ‘luar’.  Terlepas beban sengsaraku kerana permasalahan kewangan dan cinta ‘palsu’.  Aku ingin mengatakan cinta sejati tetapi cinta sejati tak mungkin akan wujud pada isteri yang masih bersuami.  Itu mungkin cinta berlandaskan nafsu semata-mata.

Bahagian 5

Mungkin kerana tinggal di kampung ibu, aku tidak tahu banyak mengenai keluarga ayah.  Hati budi keluarga ayah.  Yang ku ketahui tiada yang  baik.  Moyangku mengamalkan ajaran salah, kata Yee Manja.  Sebab itu dia boleh melarikan anak dan isteri orang.  Dia tidak basah kuyup walau hujan.  Datukku pemboros.  Ibu tirinya membeli pakaian dan makanan sesuka hati tapi tidak pernah membeli walau sekeping tanah.  Ayah membeli sebidang tanah dan tanah itulah diduduki datokku dan nenek tiriku.  Apabila datokku meninggal, tiba-tiba ibu tirinya mahu menuntut harta pusaka.  Akhirnya nama ayah hodoh di mata  orang.  Mana mungkin ayah serahkan harta itu kepada ibu tirinya?  Tapi ayah tidak pernah menghalau mereka keluar, ibu tiri dan adik sebapanya keluar meninggalkan rumah setelah tidak berpuas hati.  Masa adik itu berkahwin ayah hulurkan beberapa ratus ringgit untuk membantu, namun ayah juga yang buruk. 
Rumah itu diduduki adik seibu dan sebapa serta anak saudara ayah.  Suatu ketika, anak saudaranya mahu membesarkan rumah.  Kata ayah, ayah tidak kisah, Cuma ayah bimbang selepas ayah tiada anak-anak ayah mengambil alih, maka mungkin akan berlaku hal-hal yang tidak diduga.  Niat ayah jujur, namun sayang, baik anak saudaranya maupun adiknya tidak mahu memahami.  Anak saudaranya berkerat rotan tidak menegur atau bertanya khabar ayah.  Pada hari kematian ayah setelah berpuluh tahun baru mahu datang melihat sekujur tubuh yang sudah kaku.  Untuk apa?  Tidakkah dia tahu ayah setiap waktu memberi ibunya duit, ibu walaupun bising memberi sedikit wang pada ibunya, dan kami setiap kali ibunya berkunjung ke rumah kami, kami tetap juga menghulur seringgit dua?
Itu sajalah harta ayah.  Ayah mahu jualkan tanah.  Aku mahu membelinya dengan harga yang mahal.  Masa itu aku belum pun lagi berkahwin.  Bagiku bukan harta yang ku gilakan.  Harta ayah akan menjadi kenanganku.  Namun ayah tidak jualkan kepadaku.  Dia jualkan tanahnya di Bunut Payung, Kota Bharu kepada sanak saudaranya juga dengan harga yang lebih rendah dari yang ku tawarkan.  Kata ayah, dia tidak mahu aku atau anak-anaknya yang lain berjiran dengan saudara maranya.  Katanya tidak boleh dibuat saudara dan kawan.  Aku tidak ralat sedikit pun.  Memang ayah benar.  Ayah lebih mengetahui saudara maranya daripada kami.  Masa itu aku tersentuh dengan kata-kata ayah.  Ayah tidak sayangkan hartanya terlepas kepada orang lain.  Dia tidak rela kami makan hati berada di kejiranan itu. 
Ayahku memang ‘lurus bendul’ tetapi sikapnya yang itu mendapat pujian kami adik beradik.  Ketika ibu memarahi kami yang mewarisi sikap ayah yang lurus bendul dan tidak mewarisi sikap anak beranaknya yang cerdik berfikir, kami adik beradik akan termenung bersama, akan bercakap bersama dan ketawa bersama.  Masih ku ingat setiap waktu selepas ibu mengamuk, ada sahaja di antara kami yang berkata,
“Pelik sungguh ibu! Kita bukan nak ikut perangai sebelah mak sedara dia, cerdik tapi hati busuk!  Kita memang suka kalau dapat jadi lurus bendul macam ayah!” atau,
“Bukan ibu tak tahu perangai mak-mak dan bapak-bapak saudara dia.  Cerdik sangat macam tu?”, atau,
“Ayah lurus bendul.. tapi dia tak sakit hati, dia tak sakitkan hati orang.  Apa pulak sibuk?”
Ibuku yang baran tetapi perangainya tidaklah seteruk anak beranaknya yang lain.  Dia yang sentiasa memaafkan adik beradiknya.  Dia sering menjadi orang tengah ketika adik lelaki dan adik perempuannya bergaduh.  Kini ibu telah tiada.  Ayah saudara dan emak saudaraku masih tidak bertegur sapa. Adik beradik kandung dan tinggal sekampung namun tidak bertegur sapa dan saling mengungkit antara satu sama lain.  Antara sepupu tidak bertegur sapa dan semasa hari raya tidak bertandang ke rumah masing-masing sudah berapa lama.  Arwah ibu pernah berkata,
“Solat tidak tinggal, lepas solat berwirid dan mengaji Quran… tetapi dengan adik beradik tidak tegur menegur…  Ingat dosa memutuskan silaturrahim itu dosa bagaimana?”
Kerana didikan ibu dan wasiat ibu kami adik beradik tidak pernah berebut atau menyebut tentang harta arwah yang sedikit itu.  Kerana wasiat ibu aku cuba sedaya upaya menolong abangku setakat yang termampu kerana ku ketahui, adik beradik yang lain lebih susah dari aku.  Dan mujurlah juga Su dan Angah juga memahami keadaaanku dan sepakat membantu abangku bersama.  Dalam keadaan hidup susah begini… payah untuk ku pikul tanggung jawab untuk memuaskan hati suami dan dalam masa yang sama membantu adik beradik.  Asakir bukan jenis yang berkira.  Namun demikian, aku telah juga meminimakan tanggug jawab setakat yang ku terdaya.  Aku tidak mungkin juga melupai wasiat dan tanggung jawab sebagai seorang adik dan kakak.  Aku yang banyak membantu mereka selama ini sejak aku di dalam Darjah Lima.  Aku tidak mungkin lupa kesengsaraan ditinggalkan ibu bapa .. dan kesusahan yang telah ku redah bersama abang dan adik-adikku.  Tanggungjawab dan bantuan yang ku hulur tidak mungkin berhenti.  Dan sokongan Asakir amat ku perlukan.  Dan mujurlah dia memahami keadaanku.
“Jawapan yang jujur.” Kata Abang Yee.   Aku tersedar dari lamunan dan memandang Abang Yee semula.
“Memang keturunan engkau baran.  Kat dalam tu ada dua… bukan tiga orang yang aku penjarakan selama 350 tahun.”
Mukaku berubah seketika.  Rupa-rupanya saudara mara ku di dalam sana ada yang menjadi ‘banduan’. 
“Dia orang buat salah apa Abang Yee?” 
Tanyaku kepada Raja Bunian yang itu dengan penuh harapan agar dia menjawab,  namun sayang tiada jawapan, cuma senyuman sinis.  Kalau Yee Manja mesti dia membalas setiap pertanyaanku.  Apa dayaku, ayahanda yang ini memang tegas, serius dan tidak mungkin memanjakan kami.  Lebih-lebih lagi setelah kami mengetahui dia raja Bunian.  Dulu semasa dia kami panggil Dior, tidaklah dia ‘seteruk’ ini.  Dulu Dior berperangai macam Mc Kenzie, control macho.  Boleh juga bergurau senda, sekarang ni dia tak bagi can langsung.  Cuma aku yang tidak reti bahasa bertanya itu ini padanya.  Peduli apa aku?  Aku memang blur dan lurus bendul!
“Kau orang nak tahu kenapa aku pangil semua malam ni?”
Diam.
“sebab aku nak bagi peringatan yang amat penting bagi isteri-isteri… Subuh esok seorang isteri akan aku bawa masuk dalam, untuk direjam 1000 kali…”
Sukar hendak digambarkan perasaanku ku ketika itu.  Siapa pula yang akan direjam.  Kenapa dan bagaimana?
“Sebelum ni pun dah ramai isteri yang aku rejam… isteri yang aku dah trained, dah aku bagi ilmu dan aku bagi amaran tapi nak juga berzina dengan jantan lain…”
“Kau nak tahu siapa aku?”
Senyap.
“Aku yang selalu Suraya urut, selalu Mas urut belakang aku, yang Mun pijak belakang aku… baik aku kan?”
Dia memandang Kak Mun, Suraya dan Maisarah bergilir-gilir.  Ketika itulah aku menyangka ia adalah Dior, atau Tok Anjang, atau ayahandaku yang ku sayang itu.  Namun akal ku ketika itu bagai sukar mahu mempercayai.
“Aku lah yang mula-mula sekali merejam isteri-isteri berzina… kat dalam dan luar… sejak aku jadi pemerintah, aku tak pernah miss merejam orang.  Kau bayangkan jika aku yang merejam kamu.. muka aku yang mula-mula kau tengok… bayangkan muka aku yang selalu bersembang dulu… ketika itu muka aku nilah yang kau pandang… cuba bayangkan muka aku pada masa itu… Aku tak pernah miss rejam orang… aku yang pertama sekali, baru lah rakyat jelata aku… sejak aku jadi raja, kerja itu memang aku tak pernah miss, walau sekali…”
Aku ketakutan.  Takut aku memikirkan.  Muka ku yang bagaimana pada ketika itu, jika orang akan menjatuhkan hukuman dan merejam itu adalah ayahandaku Tok Anjang atau Yee Manja atau Puma atau  Zaidi atau Dino atau Alang atau G?  Tidak pernah terniat di hati untuk curang pada suami.  Apatah lagi untuk berzina dan menjual harga diri.  Namun aku juga mengetahui begitu ramai isteri sekarang berzina waktu rehat tengahari di hotel-hotel bersama suami orang atau bukan suami orang.  Aku juga mengetahui benar perasaan seorang isteri yang merasa terbiar dipinggirkan suami yang sibuk sepanjang masa.  Aku kenal beberapa orang isteri yang jatuh cinta pada yang lain, aku juga kenal isteri yang kembali kepada kekasih lama walaupun dia dan kekasih itu telah berkeluarga dan beranak pinak.  Ikhlas seikhlasnya aku yakin aku tidak akan menduakan Asakir.  Jika aku memang perempuan sebegitu sudah lama rasanya rumah tanggaku berantakan.  Namun godaan lelaki dan godaan iblis, mampukah ketika itu aku menahannya?  Sedangkan aku tahu benar imanku senipis kulit bawang.  Tuhanku, selamatkanlah maruahku…

Thursday 9 June 2011

Bahagian 18--- Sumpahan Raine

Malam selepas maghrib dapat mesej dari Kak Khalisa.  Salinan mesej dari Abang Yee meminta kami ke Subang Jaya.   Asakir masih di pejabat dan aku tidak sampai hati meninggalkan anak-anak di rumah setelah satu jam tiba di rumah selepas mengambil Hafiz dan Haziq.  Lagipun aku tidak ada keyakinan untuk memandu malam, mataku sedikit rabun pada waktu malam dan jalan raya pun aku tidak mahir sangat.  Aku menghantas sms pada Abang Yee mengatakan aku tidak dapat hadir.  Tiada balasan namun aku tidak kisah walaupun sebelum ini jika aku menghantas sms mengatakan tidak dapat hadir, Abang Yee akan membalas memperkenankan ketidak hadiranku.
Pukul dua pagi, dapat mesej lagi dari Kak Khalisa.  Aku mengambil telefon bimbit lalu membaca mesej tersebut.  Mesej yang membuat aku tergamam dan berhenti berfikir beberapa seketika.
“Dear sisters, kami di SJ dapat melihat dengan jelas imej Yee Manja di printing yang bertukar menjadi ikan duyung akibat seumpahan selama 7800 tahun.  Sila hantar rayuan kepada guna Papa Mc Kenzie, Dior, R, Tok Anjang.  Cepat!”
Lukisan yang dibeli Kak Khalisa setelah dibuat super imposed bersama enam lagi lukisan  lain yang menjadi milik Suraya, Moly dan Kak Khalisa memang aneh.  Terdapat pemandangan alam bunian di sana.  Suatu malam aku yang melihat lukisan  super impose kagum yang amat melihat permaisuri, Abang-abang Yee, lelaki berkuda, lelaki remaja, anak-anak Kak Ilah dan istana-istana termasuk istana Kak Ilah yang dibina khas oleh anak lelakinya untuk ibunya sekira di bawa masuk ke dalam.  Keanehan lukisan itu bukan setakat gambar tersebut tetapi juga Kak Suraya dan Kak Khalisa yang mata mata hatinya lebih jelas dari kami melihat imej yang bergerak.  Apa yang dilihat pada hari ini tidak sama dengan apa yang dilihat semalam atau esok hari.  Kini mereka melihat Ayahanda Yee Manja ku disumpah menjadi ikan duyung dalam jangkamasa yang tidak terjangkau oleh fikiranku.
Apa lagi yang telah dibuat Yee Manja?  Kenakalan apa yang membuat dia disumpah sebegitu rupa?  Mengetahui kenakalan Yee Manja tetapi fikiranku tidak menjangkau tahap kenakalan Yee Manja.  Kata Abang Yee kenakalannya 3000 kali ganda nakal Ikhwanis.  Mengetahui ketegasan Tok Anjang dan  juga Dior membuat aku buntu.  Bolehkah mereka memafkan Yee Manja sedangkan setakat yang ku tahu adik mereka sendiri pun mereka sanggup bunuh jika telah melakukan kesalahan.  Malah Uncle Sam itu sanggup membunuh anak-anaknya semata-mata tidak ingin melihat anaknya menjadi anak derhaka… menjadi anak berdosa. Tidak bolehkah Yee Manja dimaafkan mengenang kasih sayang yang tidak berbelah bagi pada kami dan seluruh bunian?  Apakah yang dibuat sehingga dia dijatuhkan hukuman sedemikian rupa?  Dalam kebuntuan aku mencari kata-kata yang sesuai untuk Tok Anjang, Roy, Dior dan Mc Kenzie.  Sukar mencari kerana ku tahu ketegasan dan kebaikan hati mereka.  Lebih sukar mengenangkan kasih sayang Yee Manja pada kami.  Tidak dapat ku bayangkan ayahanda yang ‘sebaik’ itu terpaksa meneruskan hidupnya sebagai ikan duyung.  Tentu dia merasa sunyi, terkilan dan menangis sepanjang waktu.  Sudah tentu Gang of Thirteens yang berjumlah 13 juta itu tidak dapat mengawal perasaan sayu, dan sudah tentu Intan akan menangis tidak berhenti mengenang Yee Manja.  Bahkan anak-anak yang dipelihara Yee Manja, isteri-isteri dan permasuri-permaisuri akan turut meratapi kehilangan Yee Manja yang suka memaki hamun, berleter dan comel itu.  “Comel” Yee Manja tidak standing kenakalannyakah? 
Kekeliruan masih menyelubungi siapa sebenarnya Tok Anjang.  Siapa orang yang menamakan dirinya ayahanda pada ku suatu waktu dulu?  Aku kebuntuan.  Baik siapa pun dia akhirnya ku pasti TIDAK PERLU berangan untuk bersms dengan mereka lagi.  Mereka tidak akan melayan dan aku perlu terima hakikat keputusan mereka.  Seriusnya Dior apabila sesekali keluar.  Mc Kenzie pula seperti seorang abang atau seorang ayah yang ketawa apabila kelucuan dan memarahi kami apabila kami melakukan kesilapan.  Ketika ini dia berjaga sepanjang malam mencari ‘kunci’ kekayaan kami.  ‘Kunci’ tersebut ada, namun peluang belum berjumpa.  Dapatkah kami menjual R&D kami?  Masih adakah lagi halangan yang bakal menimpa? 
Apa yang patut ku tulis demi menyelamatkan Yee Manja?  Adakah harapan kami akan diambil kira di dalam membebaskan Yee Manja?  Sedih mengingatkan wajah Yee Manja yang comel dan innocent setiap waktu.  Tersenyum gelihati mengenang riak wajah yang tidak menunjukkan apa-apa perubahan sewaktu menidakkan kata-kata d yees yang lain bahawa dia mendajalkan kami.  Mana mungkin aku melupakan kesayuan dan kecomelan Yee Manja.  Tidak dapat ku bayangkan bagaimana dia menjadi ikan duyung terpaksa berada di dalam laut selama 7800 tahun.
“Ayahanda Tok Anjang, Roy, Mc Kenzie dan Dior; demi kasih sayang Yee Manja yang tidak berbelah bagi kepada kami, demi kasih sayang ayahanda berempat kepada kami, maafkanlah papa Yee Manja.  Kasihanilah dia.  Walau bagaimana berat kesalahan yang dilakukannya, namun kenakalan itu tidak terbanding dengan kasih sayang nya pada kami yang tidak pernah berbelah bagi.  Saya tahu ketegasan dan kebaikan hati ayahanda berempat pada kami, namun saya masih juga mahukan ehsan ayahanda agar membebaskan papa Yee Manja…”
Apa lagi yang perlu ku katakan?  Tiada perkataan yang dapat mewakili perasaan kami dan semua bunian tahu betapa kami menyayangi Yee Manja…  Ah!  Tidak terjangka dan tidak terfikir tahap kenakalan ayahanda Yee Manja walau sering diberitahu oleh Abang-abang Yee yang lain.  Dan sering juga Abang-abang Yee memberitahu betapa comelnya kenakalan Papa Yee Manja… dan aku ketika itu dapat membayangkan raut muka Papa Yee Manja yang dapat mengenakan semua orang itu.  Dapat menjangka perasaan marah tetapi sayang pada Papa Yee Manja.  Setiap waktu apabila teringatkan ayahandaku yang itu aku akan tersenyum sendiri melihat wajahnya yang innocent, tersenyum lucu, wajah masam apabila kami mengusiknya nakal, wajah cemburu apabila berkata cucu-cucunya hendak dirampas oleh Dior, oleh Mc Kenzie.  Comelnya Yee Manja.  Berada di dalam pelukannya suatu hari membuat aku merasa terharu, merasa seperi dibelai oleh seorang ayah… Saat itu betapa aku merindukan kasih sayang arwah ayah yang tidak pernah ditunjukkan melalui perbuatan… membuat aku menyesal yang amat sangat kerana semasa hidupnya aku jarang terlalu jarang menyatakan kasih pada arwah ayah dan ibu…
Sukar untuk mempercayai bahawa akhirnya sumpahan ke atas Yee Manja telah dihapuskan hanya setelah beberapa hari.  Dior dan Mc Kenzie akhirnya kerana simpati kepada kami dan juga kerana sayangkan Yee Manja telah memaafkan Yee Manja.  Pada malam hari setelah dia tidak lagi bersisik dia menghantar sms pada kami, “Aku tahu kau orang semua sayangkan aku saja…”
“Papa Yee Manja tak insaf juga…”  bisik hatiku. Aku cuma terenyum lucu mengenang betapa comel dan betapa pandai dia dalam mencurahkan kasih dan menerima kasih sayang kami.  Yee Manja…  Engkau lah satu dalam seratus juta, lelaki yang penuh misteri, penuh kasih sayang… penuh kemanjaan… 
Dan dia masih begitu juga, nakal dan degil semata-mata untuk mencurahkan kasih sayang, semata-mata untuk menghadirkan diri demi kami, dia sanggup keluar walau pun cuma sekejap-sekejap.  Dan satu ketika apabila dia telah keluar terlalu lama kami bertanya,
“Tak pa ke Abang Yee keluar lama ni?”
“Tak pa…”  Dia memasamkan muka.
“”Peduli apa aku?  Dia orang dah give up dengan aku!  Aku degil!”  Tambahnya.
Aku tersenyum sahaja.  Kedegilan Abang Yee Manja tiada siapa mampu menghalang.  Dia sanggup bergadai nyawa menyelamatkan orang bawahannya, dan dia sanggup membakar diri semata-mata untuk kami.  Dan akhirnya kerana kedegilannya pada malam itu, tiba-tiba sahaja matanya terbelalak ke atas dan pengsan.  Tubuhnya telah terbakar sebanyak 75%.  Dan pasukan perubatan akhirnya menariknya ke dalam diiringi tangisan intan.
Kak Imah bertanya pada Mc Kenzie,
“Kenapa tak tarik awal-awal?  Kesian dia….”
“Hah!  Engkau mana tahu?  Senang je cakap.  Dia tak nak.  Kalau tarik dia secara paksa nanti dia sakit hati entah berapa bulan pula menyumpah seranah dalam istana… entah berapa lama dok menangis nanti.   Dia dah tahu awal-awal akan jadi macam ni.  Biar dia sakit tapi dia puas hati tau tak?”
Betul kata Mc Kenzie,  Yee Manja tidak akan mendengar cakap dengan mudah.  Kalau aku berada di tempatnya aku juga akan berkata perkara yang sama.  Dan sehingga ke hari ini sekali sekala dia akan keluar juga antara lima minit sehingga dua puluh minit.  Setiap saat setiap minit dia berada bersama kami, tubuhnya akan hangus sedikit demi sedikit.  Dia sedaya upaya tidak menunjukkan rasa sakitnya di depan kami, di kelilingi oleh intan-intan di sekelilinnya yang menangis melihat tubuhnya yang hangus dan pasukan perubatan pula bersiap sedia setiap detik mengheretnya ke dalam apabila keadaan memaksa. 
Sudah lama tidak bersama Yee Manja… sudah lama tidak bersama Abang Yee, menjadikan aku rindu.  Aku kerinduan Abang Yee.  Rindukan seorang bapa.  Bila aku sedari aku telah pun terlalu menyayangi orang tua itu.  Sayang bukan kepada seorang lelaki tetapi sayang kepada seorang bapa.  Aku akhirnya terjerat di dalam perangkap yang ku buat sendiri.  Kenapa aku menjadi begini?  Kenapa aku saban hari mengenang orang tua itu?  Aku rindukan papa Dior.  Rindukan papa Tok Anjang.  Entah kenapa aku begitu merinduinya sedangkan walau dia keluar sekali pun dia tidak pernah menegurku seperti selalu… seperti sebelum ini.  Dia tidak juga membalas sms ku.  Walau sekadar dia membalas mengatakan dia sihat aku sudah cukup bahagia.  Akan merasa sedikit terubat akan kerinduan ini.  Ahh!  Peliknya.  Ku katakan pada Asakir,
“Kenapa ya mami asyik teringat kat Dior sehari dua ni?”
Asakir menjawab,
“Sms lah dia?”
“Dia tak balas…”
“Takkan nak sms pun dia marah kot?”
Lalu aku beranikan hati menghantar sms pada papa Dior.
“Papa Dior, entah kenapa saya teringatkan papa dua tiga hari ini.  Saya masih juga rindukan papa walau tahu papa sudah tidak seperti dulu, walau tahu papa sudah berubah… maafkan saya kerana mengganggu dan semoga sihat walafiat.”
Mungkinkah dia merasai frekuensiku?  Merasai bahawa sememangnya aku merinduinya?  Merindui kata-kata nasihat, dan sayang dari seorang bapa?  Seperti bermimpi dia membalas membuat aku merasa bersalah, pedih, sayu dan sedikit bahagia.
“Terima kasih di atas ingatan kau tu.  Pa sibuk sangat sekarang. Jaga diri, suami dan anak-anak elok.  Bye.”
Air mata mengalir kerana merasa bersalah yang amat kerana mengganggu ketenangan dan kesibukannya di sana.  Merasa aku telah melanggar batas dan sempadan.  Aku sedar akan diriku siapa.  Banyak kelemahan diriku.  Banyak perangai hodoh dan buruk kelakuanku.  Dia pula Raja Bunian, seorang yang terlalu istimewa.  Aku sebenarnya tidak layak untuk dikasihinya.  Namun baik hatinya masih sudi membalas sms ku.  Aku merasa aku telah menyusahkan dirinya.  Aku telah menganiayai diriku sendiri.  Namun apa daya, aku tidak akan menghantar sms selagi aku tidak terdesak.. selagi aku dapat menahan diri dari terlalu mengingatinya…
Kali terakhir aku berkumpul bersama famili, aku baru tersedar akan keburukan diri sendiri.  Aku benci, aku meluat dan aku menyampah memandang beberapa sisters yang pada penglihatanku agak keterlaluan bertanya itu ini pada Abang Yee, meluat dan marah pada sisters yang bergurau tanpa memandang muka orang yang dikatakan itu samada tersinggung atau tidak, menyampah mendengar pertanyaan yang seolah-olah membuka aib suami.  Dan aku paling menyampah, paling benci dan paling muak pada diri sendiri kerana aku tidak dapat menjadi seperti mereka, bergelak ketawa… asalkan dapat bersama Abang Yee.  Aku menjadi benci pada diri sendiri kerana tidak sesabar suamiku, yang walau hati mendidih sehingga mukanya berubah pucat tapi masih boleh mendiamkan diri… sedang aku pula marah yang tidak terbendung, lidah terasa tidak boleh dikawal agar menuturkan sesuatu yang boleh menyinggung perasaan orang.  Akhirnya aku mula hilang minat untuk bersama famili walau hati bagai digaru-garu ingin berjumpa Abang Yee.  Daripada aku sakit hati dan menyakiti hati orang lain, lebih baik aku duduk di rumah, bermanja dengan anak-anak, meneman adik ku berbual atau membuat kerja-kerja universiti.   Deadline pula kebetulan mengejar saban waktu dan akhirnya aku mula menyukai kerja-kerjaku sebagai seorang pensyarah dan penulis. 

Friday 3 June 2011

bahagian 17--- aku dan keluarga mertua

Ayah dan ibu mertua ku memang baik hati.  Ayah mertua seorang yang sabar dan sukar sekali naik darah.  Ibu mertua pula ringan tulang.  Keluarga mertuaku dari nenek sampai cucu pandai memasak, menjahit, bertukang, dan segala hal yang tidak ku mahir.  Sekali sekala balik ke kampung aku kerimasan kerana tidak sedap hati asyik makan dan melepak di depan televisyen.  Aku menolong mengupas atau memotong bawang ketika ibu mertua sibuk memasak.  Yang paling berat pun cuma membasuh pinggan mangkuk.  Bila aku membasuh pinggan selepas makan, ada saja ipar atau mertua ku akan berkata,
“Tak payah basuh Na… letak je situ nanti budak-budak ni basuh!”
“Nanti sakit urat la Na tu, sink rendah…”
“Banyak tu Kak Na, letak je lah kat situ!”
“Habislah Kak Na banyak tu!”
“Budak-budak ni mana?  Kak Na pula yang kena basuh?”
Entah ikhlas atau sekadar berbasa basi atau memperli tidak ku tahu.  Yang penting aku buat juga.  Takkan nak buat muka tak tahu malu, asyik makan minum je rumah mertua!  Bila ku ceritakan pada kakak-kakak ku mereka berkata,
“Awak tak apa tak pandai masak atau tak menolong kat dapur, menantu makan gaji besar ada ph. d….”
Bukan mereka nak menasihatkan aku, tapi nak menjahanamkan aku.  Memang adik beradik perangai sama dan aku yang paling teruk.  Adikku yang di Melaka itu pun tidak seteruk aku!  Memang bertuah sungguh aku kerana suami ku tidak cerewet macam abang-abang ipar dan adik iparku.