catatan peribadi ryina ikhwan

Ikuti catatan peribadi ryina ikhwan di http://ryinaikhwanroslina.blogspot.com/

Tuesday 1 February 2011

Prolog

Jika aku mengatakan bahawa aku adalah salah seorang keturunan raja bunian yang hidup di bumi, mahukah kamu semua mempercayainya? Jika aku mengatakan bahawa aku dan suamiku Asakir adalah sepasang suami isteri yang sama-sama mempunyai darah dari keturunan yang sama, bolehkah kamu mempercayainya?Jika juga aku mengatakan yang anak-anakku iaitu Nurul Ikhwanis dan Omar Mokhtar bebas keluar masuk ke alam bunian mampukah kamu mempercayainya?
Lelaki itu, Abang Yee, satu tubuh manusia tetapi dimiliki oleh orang bunian. Tanpa tubuh itu mana mungkin kami berinteraksi kerana dunia kami berbeza. Abang Yee yang sebenar, nama batang tubuh itu berada di alam bunian, menjadi orang yang begitu zuhud dan orang kuat Istana, sesekali keluar amat memberi impak sebagai lelaki yang penuh ilmu. Lelaki yang dimasukkan ke alam bunian semasa masih anak kecil lantaran penyakitnya tidak dapat diubati oleh doktor di luar.
Raja Bunian atau lebih dikenali sebagai Tok Anjang memerintah dunia bunian dibantu bangsawan dan juga pegawainya. Di kalangan mereka ada yang merupakan kumpulan tentera G13, kumpulan gadis pembantu dikenali sebagai Intan, yang diketuai oleh “bonda Intan”, kumpulan pelapis G13 iaitu GoL dan terdapat juga G18 yang merupakan keturunan Tok Anjang. Malah kumpulan pentadbir elit iaitu kumpulan Raine turut keluar masuk berjumpa kami anak beranak. Turut serta adalah keluarga keturunan Tok Anjang lain yang dikumpulkan oleh Tok Anjang bagi membentuk empayar perniagaan. Mampukah kalian mempercayainya?
Dan kini, anakku, Nurul Iklhwanis hilang dilarikan Syed Ikhwan, kumpulan M18 yang juga merupakan salah seorang Raine. Aku mahu mengadu kepada siapa?Kepada polis? Polis mahu menangkap siapa sedang batang tubuh itu telah kembali ke alam sana? Lagipun aku sayangkan dia, sayangkan Abang Yee, aku sayangkan pada semua ayahandaku… aku cintakan G, lelaki bunian yang cintanya membuat aku hampir kehilangan suamiku… Cinta sejati, bolehkah hadir untuk kedua kali?
Bacalah kisahku. Kisah Rosya Atiqah Naim. Kisah suka duka seorang wanita bersuami yang masih merindui kekasih hatinya secara diam. Cerita akan ketulusan sayang seorang anak keturunan raja bunian kepada Abang Yee. Seorang anakanda kepada ramai ayahanda yang berpengaruh di alam bunian, Tok Anjang, Syed Ikhwan, Sulaiman, Suhaimi, Mussoni Saleem dan ramai lagi… Aku juga kawan kepada G13 yang kaki carut, kaki belit, kaki pukul, tentera elit serta doktor tentera terbilang. Diriku juga adalah kakak kepada GoL yang comel dan selamba… juga aku, seorang ibu yang mempunyai 3 orang anak di alam buni…
Teladanilah bagaimana kami membina perniagaan dari kosong, tanpa sebarang pinjaman bank. Bacalah kisah pengkhianatan… kisah pengorbanan suami isteri di dalam mengharungi dunia perniagaan. Selamilah hati kami… keturunan Tok Anjang, yang ketulusannya sering mengetuk rindu kami.
Hayatilah kisahku, seorang gadis kampung yang pernah hidup susah. Gadis sunti yang pernah menangkap ikan haruan, ikan puyu serta siput di petak sawah.Akulah juga mencari belalang kunyit untuk ku makan adik beradik. Mencari etak di parit bersama adik dan kakak ku. Akulah yang amat bersyukur pada Allah kerana memeliharaku daripada diapa-apakan oleh seorang kenalan yang menyelinap bersembunyi di atas alang bilikku, demi mengintai aku yang baru habis mandi. Aku yang memaki hamunnya tidak diapa-apakan. Jika dia mahu merogol atau membunuhku sekalipun, apalah dayaku seorang gadis tingkatan 4, mampu berbuat apa-apa?
Renungilah kisahku yang pernah ditinggalkan bersama adik-adik di kampung. Walau tidak dijaga dan tidak dipeduli, tetap aku menjejak kaki ke Negara matahari terbit dan kemudian bergelar doctor falsafah. Aku tidak bangga akan pencapaian akademikku. Aku sekadar bangga aku tidak menjadikan alasan aku sebagai anak terpinggir untuk gagal mengejar impian. Jika aku gadis yang lemah, mungkin aku menyalahkan takdir, menyalahkan ibu bapa yang membiarkan aku dan kemudian jadilah aku anak derhaka, jadilah aku perempuan yang berpeleseran. Dan tidaklah aku sebahagia sekarang bersama seorang suami dan anak-anak yang comel.

No comments:

Post a Comment