catatan peribadi ryina ikhwan

Ikuti catatan peribadi ryina ikhwan di http://ryinaikhwanroslina.blogspot.com/

Wednesday 2 February 2011

Bahagian 3


Aku memang panas baran.  Baran yang menurut agakanku mengikut perangai keturunan ibuku.  Keturunan ibu ku baka ‘wan’.  “wan’ diletakkan pada pangkal nama keluargaku.  Cuma ibu yang tidak menggunakan nama ‘wan’ kerana anak perempuan.  Adik ibu. Wan Syukur, sepupuku, Wan Rohaizad, tok saudaraku, Wan Long, Wan Kalsom, Wan Rogayah… Dan nenekku, Wan Mek.  Garang Wan Long tersohor tujuh buah kampung.  Keluarga kami sebelah ibu, terkenal dengan keluarga yang kaya raya, cerdik pandai dan keturunan baik-baik.  Namun tidaklah ku ketahui kelebihan apa yang ada pada keturunan ibuku.  Selain anak beranak pandai dan bekerja sebagai pensyarah, pengurus bank, dan CEO syarikat aku tidak terlintas apa-apa lagi kebaikan mereka, walau pun ibu selalu berbangga bahawa nenek moyangnya orang bangsawan.  Yang ku tahu ibu dan neneknya hidup susah walau adik beradik nenek kaya raya.  Nenek meninggal awal, jadi harta pusaka habis jatuh pada adik beradik yang lain.  Tiada yang diberikan pada ibu, adik perempuan ibu atau adik lelaki ibu.  Pelik juga memikirkan jika adik beradik meninggal, tidak bolehkan harta dibahagikan kepada anak lelaki jika tidak pun kepada anak perempuan?  Anak-anak yang sudah menjadi yatim?  Dan anak yang telah kehilangan kasih seorang ayah kerana siayah berkahwin dengan perempuan yang lain dan ibu tiri tidak pernah menyukai anak-anak tiri? 
Semasa ku pulang ke Jepun aku membeli sebidang tanah sawah dari mak sepupuku.  Masa itu riuh orang kampung membuat cerita harta nenekkku itu akhirnya jatuh kepada cucu sendiri.  Beberapa tahun kemudian ku beli sebidang tanah sawah dari tok saudaraku.  Dan masa itu juga orang kampung bercakap perkara yang sama.  Ku beli juga tanah sawah itu walaupun pada ketika itu orang kampung yang lain tidak mahu membeli  kerana harga yang ditawarkan tidak berbaloi.  Ku beli kerana nasihat emak.  Emak kata tidak rugi membeli tanah sekiranya mampu, kerana tanah tidak mungkin akan turun harga.  Memang  betul kata ibu, selepas tiga tahun ada orang menawarkan padaku untuk membeli tanahku dengan harga dua kali ganda.  Namun tidak pun berniat aku menjualnya.  Itu kenanganku.  Ada sejarah di sebalik semuanya.  Aku benci saudara mara ibu.  Panas baran, mengata orang, sombong dan iri hati.  Ibu dibenci kerana anak ibu iaitu aku keluar negeri.  Bila aku menjadi pensyarah dan bergerlar Dr, tok saudaraku mencemuh.  Katanya anaknya menjadi professor.  Bila ku beli kereta Citroen, tok saudaraku kata anaknya membeli Mercedes, bila ku beli Gen2, anaknya membeli kereta BMW berharga satu juta!  Bila anak saudaranya keluar tv kerana tuduhan rasuah, katanya itu sudah menjadi kebiasaan orang kaya!  Maka apalah lagi yang kami anak-anak ibu dan anak-anak adik-adik ibu ini mahu berkata apa lagi.  Sedangkan sedikit harta yang kami beli tidak pun terlintas untuk membangga diri.
Tok Wan ku itu pernah memukul sehingga lembek adik perempuannya iaitu ibu kepada emakku di depan datukku.  Datukku itu tidak berkata apa. Cuma mampu memandang.  Dia boleh bertandang ke rumah sanak saudara mencaci cerca dan memaki hamun.  Dia sanggup juga memaki hamun isterinya di depan anak-anak buahnya.  Betapa bencinya kami kepada dia.  Ibuku pernah berkata,
“Orang muda mesti hormatkan orang tua… tapi orang tua juga perlu hormatkan orang muda jika ingin dihormati.”

Aku tidaklah sampai memaki hamun orang.  Cuma memang ku sedar aku cepat berasa marah dan panas hati.  Tidak juga ku maki orang walau ku marah.  Sekadar menyabarkan hati sendiri.  Kerana ku tahu dosa yang amat besar jika memaki hamun orang.  Lagipun siapalah aku?  Aku pernah bergaduh dengan Asakir.  Pernah marahkan dia tapi tidaklah sampai memaki hamun dia.  Bila ku rasakan panas di hati, aku akan cuba sedaya upaya mendiamkan diri dan bersendiri di dalam bilik.  Tapi Asakir tidak faham-faham juga.  Dia akan mengekori aku dan bertanya itu ini.  Dia tahu ada yang tidak kena dan ingin mengetahui dari mulutku.  Sedangkan kalau dia tidak mempedulikan aku, aku akan sejukkan hati dan dapat melupakan segalanya dalam masa tidak sampai satu hari.  Dan biasanya kalau dia cuba mengorek juga sebab musabab aku terpaksa memberitahu dan terpaksalah pula menangis.  Kerana bersalah dan kerana tahu kelemahan diri sendiri yang sentiasa sensitif tidak kena tempat dan masa.
Ayahku mungkin juga pemarah masa mudanya, tapi tidak dapat megalahkan pemarah ibu.  Ayah lurus bendul, menyerupai perangai Asakir.  Aku bangga suami ku selurus ayahku.  Tidak berdendam, tidak menunjuk-nunjuk dan tidak sombong.  Ibu selalu berkata, perangai anak-anaknya mengikut perangai ayah, lemah dan lurus bendul, tidak mengikut perangai sebelahnya cerdik pandai.  Ah!  Memang benar ada baik dan buruknya perangai ayah dan ibuku.  Ibu memang cerdik.  Kalau tidak, tidak mungkin ibu dapat membeli sedikit demi sedikit tanah, walaupun tidak mendapat sebarang harta pusaka.  Sikap cermat ibu dan ketabahan ibu jika diwarisi oleh aku dan anak-anaknya memang akan mendapat berkat.  Ibu tidak mungkin seorang yang kedekut atau bakhil.  Kalau ibu kedekut ibu tidak akan menderma wang atau meminjamkan wang pada orang yang lebih susah.  Ibu tidak pernah membazir apa sahaja rezeki yang ada.  Kami telah dididik agar tidak membazirkan makanan dan sedikit wang, agar tidak bercakap bohong dan dengkikan orang.  Ia begitu kuat dalam hatiku. 





No comments:

Post a Comment