catatan peribadi ryina ikhwan

Ikuti catatan peribadi ryina ikhwan di http://ryinaikhwanroslina.blogspot.com/

Thursday 1 December 2011

Bahagian 29: Aku kena belasah!!

Kini aku mengandungkan anak ke empat.  Jarak masa telah beralih ke angka lima.  Lima tahun  bersama Abang Yee.  Masih miskin lagi.  Namun keyakinan dan semangat kami tidak pernah luntur.  Kerana setiap hari akan ada perkembangan baru yang positif ke arah memajukan syarikat.  Anak yang ku kandung ku harapkan akan lahir sebagai perempuan.  Dan akan aku minta kebenaran Papa Dior untuk menamakan anakku sempena nama umi, Qudsi.  Nama yang indah dan peribadi yang mulia.  Kalau anak itu lelaki akan ku berikan nama Dior.  Bolehkah Papa berikan nama itu kepada anakku? 

Aisyah, famili terakhir semenjak dua menjak ini begitu ‘gigih’ menerima kasih Abang Yee.  Sekali dua tidur di rumah Abang Yee bersama Maisarah.  Kadang-kadang aku cemburu padahal Aisyah tidak berbuat salah apa.  Lagi pun dia baru hendak merasa kasih sayang Abang-abang Yee, tidak sampai setahun lagi bersama, sedangkan kami bersama Abang Yee sudah bersama mencapai usia lima tahun.  Sepantas kilat masa berlalu.  Tidak terasa lagi kesusahan dan kemisikinan yang mencengkam diri.  Aneh memikirkan.  Terasa begitu menyayangi dan ingin memahami Abang Yee, namun sebenarnya semakin lama semakin jauh untuk ku kenali.  Semakin hampir memasuki dunia Abang Yee, dimensi Abang Yee, namun terasa semakin jauh dan semakin besar halangan yang bakal menjelma.  Akhirnya aku menyedari aku masih tidak memahami apa pun mengenai Abang Yee, mengenai Papa Dior dan Papa Mc Kenzie.  Yang nyata hanyalah keyakinan bahawa orang tua itu tidak akan memusnahkan kami.  Kerana seburuk-buruk Abang Yee, mereka tidak pernah menyuruh kami berbuat jahat.  Mereka sering menasihat dan mengajar kami melalui kupasan surah-surah tertentu.  Dan sikap Abang Yee yang ku anggap rela membakar diri demi kami telah lama ku sedari.  Dia tidak perlu bersusah payah bersama kami jika dia mahu.  Dia sendiri kaya raya tetapi mengenepikan semuanya demi menjadi tauladan kami.  Dia boleh juga ghaib sahaja dari dunia ini hidup di mana-mana bumi Allah ini, di mana-mana dimensi yang masih luas terbentang, namun perjuangannya belum selesai.  Cita-cita kami masih terlalu jauh untuk dicapai.  Dan semua orang kini semakin bersemangat walau janji untuk kaya raya pada tahun 2005 itu telah jauh kami tinggalkan.  Tiada orang mengungkit.  Tiada orang menagih janji.  Kerana Abang Yee itu makhluk Allah jua, tiada beza antara kami.  Dia mungkin lebih mulia dari kami, namun dia masih hamba Allah.  Mungkin dia boleh memberi jalan pintas kepada kami agar kaya raya.  Namun untuk apa sebenarnya kekayaan semudah itu tanpa pengorbanan dan usaha lipat ganda kami.  Alang-alang seluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.  Alang-alang susah, biar susah bertahun lagi asal puas dengan apa yang kami usahakan.

Rahsia mandi Abang Yee, resipi Papa Dior, satu resipi untuk membersih kekotoran diri.  Membersih tempat-tempat tertentu yang menjadi rumah tempat berteduh iblis, syaitan dan jin-jin jahat.  Bukan sahaja resipi untuk menjadikan diri cantik tetapi lebih dari itu ia resipi untuk membersih kekotoran diri yang berpuluh tahun dihuni makhluk halus.  Namun mungkin jua kami ini tidak sebersih seperti apa yang Abang Yee mahukan.  Aku terutamanya kerana kekangan masa belum dapat mennghafal surah-surah yang Papa Dior sebutkan.  Sisters masih ada yang derhaka pada suami.  Dan ilmu urutan yang diberi oleh Abang-abang Yee sekadar urutan untuk kecantikan dan kesihatan diri sendiri, bukan kami gunakan untuk kebajikan.  Kerana kami sebenar hanya rela mengurut sesama kami tidak masih terasa berat hati mengurut orang demi kebajikan.  Ujian yang diberi Abang Yee gagal disempurnakan.  Tercalarkah harga diri jika kami mengurut seseorang yang di luar dari famili kami.  Sedangkan kami ini pengurus bank, pensyarah-pensyarah IPTA dan seseorang yang pernah mewah suatu ketika dulu.  Nampaknya kami ini jauh dari layak untuk menerima penghormatan sebagai keturunan Raja Bunian.  Keturunan Papa Dior, manusia yang pernah berperang entah beratus ribu kali sepanjang entah  berapa puluh ribu tahun usianya.

Aku tak mungkin lupa kisah yang Papa Dior ceritakan.  Kisah bagaimana pejuang Islam tewas di dalam sebuah peperangan.  Pejuang Islam dibunuh.  Papa Dior disalib di tiang kayu di tengah-tengah gurun pasir.  Kakinya diikat.  Kedua-dua tangannya dipaku.  Kerana menyangka dia telah menemui ajal, musuh telah membiarkan Papa Dior tergantung.  Entah berapa hari Papa Dior mengumpul kekuatan, menahan kesakitan.  Akhirnya demi maruah Islam, Papaku itu mengumpul kekuatan terakhir mencabut kedua belah telapak tangan dari paku sebesar batang pensel.  Daging terlekat pada paku yang tercabut.  Darah merah mengalir dari dua lubang tangannya. Dan Papa Dior menunjukkan kesan lubang tapak tangan yang dipaku.  Bulat.  Besar.  Dan terletak antara dua urat di tapak tangan.  Seolah-olah urat di belakang tangannya terputus dua.  Dengan penuh dendam, Papa Dior mencari logam, membuat sabit kecil berhulukan kayu.  Papa juga menunjukkan pada kami sabit tersebut… yang telah berumur entah berapa puluh ribu tahun.  Kata Papa Dior kalau kami jual sekelip mata kami boleh jadi kaya raya kerana saintis Barat akan kagum melihat logam yang tiada wujudnya di muka bumi dan hulu sabit yang bila diuji dengan DNA akan menunjukkan usianya itu.  Dan Papa menyambung, dia kemudian bersama tujuh pahlawan Islam mencari raja kepada musuhnya lantas membunuh dan mengambil alih kerajaan.  Aneh memikirkan kerajaan Papaku.  Pemerintahan mengikut Al Quran, hukum potong tangan bagi pencuri, rotan dan sebatan bagi penzina.  Dan nyata bukan kesemua Islam walau pun rata-rata rakyatnya Islam.  Dan aku masih ingat tiga tahun lepas pada suatu malam, seorang dari Abang Yee keluar lalu memberitahu dia ingin memeluk ugama Islam.  Salah seorang brothers mengajarnya mengucap dua kalimah shahadah.  Dia meminta kami menamakannya dengan nama Islam.  Lalu kalau aku tidak silap brothers itu memberikan nama ‘Amir’ kepadanya.  Dia bertanya maksud nama tersebut, lantas mengangguk dan masuk ke dalam.  Dan orang yang menamakan Amir itu juga telah meninggalkan kumpulan kami.  Kami tidak ralat.  Kerana yang benar-benar Ikhlas bersama Abang Yee sahaja yang akan kekal.

Perangai manjaku dengan Papa Dior memang menjadi-jadi semenjak aku mengandung ini.  Aku menghantar sms pada Papa.

“Papa, sempena saya mengandung ni, nak buat permintaan leh?  Tak susah pun.  Saya nak tidur sebelah papa lagi bila papa kelapangan.  Saja nak mengada-ngada.  Cucu pa yang nak!”

Papa Dior membalas,

“hehehehe.  Nanti pa beritahu  bila ya…”

Katanya membuat aku tersenyum gembira.  Memang perangai ku teruk. Padahal sisters yang lain tidak lagi berpeluang tidur di sebelah Papa Dior. Kini aku meminta untuk kali kedua.  Samada aku ni terlalu manja atau terlalu tolol.  Dan tidak sampai tiga pulut minit P. A Papa Dior mendedahkan sms ku pada mesyuarat di syarikat di depan semua orang termasuk Asakir.  Mereka mengetawakan aku.  Aku tidak peduli juga.  Samada sisters menyampah atau marahkan aku, aku malas ingin mengambil tahu.  Yang ku tahu Asakir mengeleng kepala memberitahu,

“Ada ke tulis macam tu?  Tak habis-habis nak menyakat orang tua tu!”

Aku cuma ketawa.  Mesti gamat mesyuarat itu disebabkan aku.  Dan selepas ini mungkin aku akan dikutuk di depan semua orang.

Sms mengada-ngada dan manjaku pada papa Dior, tidak dia kisahkan.  Malah dia berkata aku ini anak yang comel dalam serba serbi.  Menurutnya dalam sms,

“Pa syg sgt kau!  Sayang pa pada kau lain.  Kau ni comel semua segi, pemalas, baran, ngada2, manja…”

kerana leka disayangi Papa Dior, aku menerima padah.  Setelah seminggu tidak berjumpa kerana aku ponteng perjumpaan kerana sakit dan menjaga anak-anak yang sakit, aku berkunjung ke Subang Jaya.  Papa Dior menyambut dengan mesra.  Kemudian keluar Tok Ayib, pencipta seloka melayu yang berjanji akan memberi aku 500 seloka Melayu untuk dibukukan.  Namun dia memarahi aku juga.

“Kau jangan nak sms aku!  Aku lempang kang nanti!”

Ah!  Aku percaya itu pertama kali aku berjumpa dengannya.  Kenapa dia begitu tidak ingin bersms denganku padahal dia sebelum itu menghantas sms pantun seloka carut pada sisters dan brothers.  Ah!  Apa salahku!  Agaknya aku ini tidak digemari orang-orang tua seperti Tok Ayib!  Aku berjanji tidak akan menghantar sms padanya pada saat itu juga di depannya.  Namun keinginan untuk mendapatkan pantun Melayu daripadanya tidak mungkin pudar.  Kata Papa Dior Tok Ayib boleh mengarang 1000 pantun dalam masa semalaman.  Dan selepas Tok Ayib, Papa Dior kembali semula.  Melihat gaya seriusnya dan pandangan matanya, kami mengetahu bahawa ada perbincangan serius.  Dan aku bagai mahu menangis terkejut dimarah sebegitu rupa selepas itu.  Tiada daya mahu membantah kerana tuduhannya benar belaka.

“Budak pemalas sekor ni!  Pemalas dan tak tahu nak masak apa.  Nak bermanja tapi perangai baran!”

“Tengok Asakir, jadi tukang masak bertahun-tahun.  Sejak berguru ni baru pandai nak mengelak.  Nak buat macamana bini politik tinggi!”

“Tengok Asri, terkejut dia tengok adik ipar yang dia menyampah dulu berubah jadi baik.  Kerja rajin.  Aku bagi dia cuti 3 ari, kakak dia bagi cuti seminggu.  Sepatutnya aku pengerusi tapi dia rampas kuasa pula.  Dia ambil alih kuasa aku pula!”

Aku memandang wajahnya.   Menentang matanya.  Namun tidak berani menjawab apa.  Aku menundukkan muka setelah beberapa titis air mata mengalir tanpa ku ingini.  Aku cuba mengawal perasaan sedapat mungkin… kerana jika diketahui Papa Dior aku menangis mungkin keadaan akan menjadi lebih teruk.  Sambil dia memarahi aku, dia memarahi orang lain juga.  Tapi aku yakin benar aku terlebih dimarah pada malam itu.  Ah!  Kerana mulut badan binasa.  Memang padan dengan mukaku!  Aku alpa!  Aku lupa diri lagi.  Lupa akan keburukan diriku sehingga Papa terpaksa mengingatkan aku berulang kali pada malam itu.

“Aku nak bagi tahu antara ramai-ramai aku paling sayang Eton.  Dia rajin!  Rajin dan pandai masak!  Mentang-mentanglah dia tidak ada pendidikan tinggi, semua kerja kotor dan penat bagi kat dia!  Aku perhati semua ni… Tak pa Eton… Kau buat ja kerja yang dia orang tak nak!  Nanti aku bagi hadiah yang tak boleh orang lain lihat!  Biar padan dengan semuo orang ni!  Ego!  Nak jaga status konon.  Mentang-mentang professor, manager, Dr dah tak ingin sentuh benda-benda kotor, buat kerja remeh temeh.”

“TQ Papa. I love you!”  Kata Kak Eton membuat aku menyampah.  Mulut ketawa tapi hati memang betul-betul menyampah! Nak buat macamana Kak Eton memang baik.  Pernah juga dia mengurut kaki ku padahal aku tidak pernah meminta dia berbuat demikian.  Bila ku tarik kaki ku menolak dia berkata,

“tak pa Kak Eton tak kisah semua ni…”

Memang Kak Eton layak dikasihi oleh Abang-abang Yee lebih dari yang lain.  Dan cemburu dan menyampahku padanya bukan kerana benci. Dia terlalu baik dan terlalu merendah diri.  Padahal dia tidak perlu begitu merendah diri kerana Abang-abang Yee tidak pernah melebihkan sesiapun dari kami.  Dia boleh juga menolak kerja yang diberi oleh sisters kerana dia lebih berumur daripada kami.  Lagipun dia amat tahu perangai kami yang banyak kelemahan ini kerana sering disebut oleh Abang-abang Yee.










No comments:

Post a Comment