catatan peribadi ryina ikhwan

Ikuti catatan peribadi ryina ikhwan di http://ryinaikhwanroslina.blogspot.com/

Friday 3 June 2011

bahagian 17--- aku dan keluarga mertua

Ayah dan ibu mertua ku memang baik hati.  Ayah mertua seorang yang sabar dan sukar sekali naik darah.  Ibu mertua pula ringan tulang.  Keluarga mertuaku dari nenek sampai cucu pandai memasak, menjahit, bertukang, dan segala hal yang tidak ku mahir.  Sekali sekala balik ke kampung aku kerimasan kerana tidak sedap hati asyik makan dan melepak di depan televisyen.  Aku menolong mengupas atau memotong bawang ketika ibu mertua sibuk memasak.  Yang paling berat pun cuma membasuh pinggan mangkuk.  Bila aku membasuh pinggan selepas makan, ada saja ipar atau mertua ku akan berkata,
“Tak payah basuh Na… letak je situ nanti budak-budak ni basuh!”
“Nanti sakit urat la Na tu, sink rendah…”
“Banyak tu Kak Na, letak je lah kat situ!”
“Habislah Kak Na banyak tu!”
“Budak-budak ni mana?  Kak Na pula yang kena basuh?”
Entah ikhlas atau sekadar berbasa basi atau memperli tidak ku tahu.  Yang penting aku buat juga.  Takkan nak buat muka tak tahu malu, asyik makan minum je rumah mertua!  Bila ku ceritakan pada kakak-kakak ku mereka berkata,
“Awak tak apa tak pandai masak atau tak menolong kat dapur, menantu makan gaji besar ada ph. d….”
Bukan mereka nak menasihatkan aku, tapi nak menjahanamkan aku.  Memang adik beradik perangai sama dan aku yang paling teruk.  Adikku yang di Melaka itu pun tidak seteruk aku!  Memang bertuah sungguh aku kerana suami ku tidak cerewet macam abang-abang ipar dan adik iparku.

No comments:

Post a Comment