catatan peribadi ryina ikhwan

Ikuti catatan peribadi ryina ikhwan di http://ryinaikhwanroslina.blogspot.com/

Tuesday 14 June 2011

Bahagian 19

Janjiku pada Abang Yee, pada Dior adalah untuk tidak melangkaui jarak dan sempadan antara aku dan dia.  Akhirnya aku robekkan jarak dan sempadan itu.  Jarak dan sempadan yang ku lakar sendiri bagi memisahkan aku dan Abang Yee agar dirinya tidak terlalu ku sayangi.  Namun sayang, ia masalah hati dan perasaan.  Ku lakarkan jarak, jarak antara aku dan Abang Yee agar aku tidak terlalu dekat dengan dirinya.  Ku lakarkan sempadan agar aku tahu akan diriku siapa, dan dia pula siapa… dan kedua-duanya aku robohkan.  Kini aku sedang menghukum diri sendiri.  Tidak perlu Abang Yee menghukum aku seperti mana dia menghukum beberapa orang sisters sebelum ini.  Mereka di larang datang ke rumah Abang Yee dan dilarang membuka mulut sewaktu di rumah Abang Yee.  Kini aku pula menjatuhkan hukuman pada diri sendiri.  Aku tidak boleh ke rumah abang Yee dan tidak boleh bersms dengannya lagi.    Ia lebih baik daripada aku menganiayai diri sendiri dan menyusahkan Abang Yee.  Lebih baik aku memikirkan rumah tanggaku dan anak-anakku, lebih baik menjaga makan minum suami seperti yang selalu diminta oleh papa Dior . 
Bukan mudah melakukan semua itu.  Hati melonjak-lonjak ke Subang Jaya menghadiri majlis hari jadi Kak Ilah, namun apa daya.  Semua tidak kena.  Pergi salah dan tidak pergi juga salah.  Aku tidak mempunyai wang untuk membeli sebarang hadiah, dan tiada apa yang dapat ku masak kerana sisters meminta potluck.  Tiada lauk di rumahku, tiada bekalan makanan yang boleh ku kongsi bersama yang lain.  Bulan ini aku memang daif.  Mahu mencari duit untuk membayar road tax dan insuran kereta Gen2.  Nampak gayanya aku terpaksa menumpang kereta kancil suami untuk beberapa bulan ini.  Ingin menghantar sms pada Abang Yee memberitahu aku tidak dapat hadir namun apa alasanku?  Ingin menghantar sms pada Kak Ilah meminta maaf tetapi dapatkah Kak Ilah menerima?  Ingin menghantar sms pada Kak Khalisa namun adakah aku akan dipercayai?  Bukan aku tidak tahu ada dari mereka berkata aku dan suami banyak duit kerana duduk di rumah banglo dan ada  dua lagi rumah.  Kereta ada tiga buah.  Mereka tidak tahu rumah sebuah lagi itu sudah lama tidak berbayar… tidak tahu Citroenku sudah hamper setahun mati tidak berganjak dari porch… tidak tahu aku mengambil kereta Kancil abangku kerana abangku tidak mampu membayar dan kerana kasihankan Asakir yang berjam-jam menunggu bas dan keretapi?  Mereka tidak tahukah aku juga kalau boleh ingin bergaya dan bersolek seperti mereka jika aku mampu?  Kak Mun dan Suraya setelah dimaki hamun Abang Yee kerana terlanjur mencampuri urusan pejabat telah menempah bilik hotel semata-mata untuk menangis bersama, mengenang nasib diri! Dan setelah memasuki bilik boleh lagi menukar bilik kerana bilik yang mereka masuki kecil!  Ah!  Kerja gila dan kerja bodoh!  Membazir duit!  Lebih baik diberi kepada anak-anak mangsa tsunami atau derma melalui sms kepada anak-anak malang dalam rancangan “bersamamu” TV3.  Akhirnya aku mendiamkan diri walau tahu Abang Yee akan ‘memerhatikan’ tingkah laku…  Lebih baik aku mendiamkan diri seketika.  Terlalu banyak sebab untuk aku berbuat demikian.
Bilakah hukuman ini akan tamat?  Jawapannya ku ketahui benar.  Setelah aku tidak lagi terlalu menyayangi Abang Yee.  Setelah aku dapat menerima Abang Yee sebagai ketua dan bukan sebagai seorang yang istimewa.  Setelah aku tidak lagi menginginkan perhatian yang berlebihan dari Abang Yee.  Bukan mudah, namun itu sahaja pilihan yang aku ada.  Dan untuk itu sekarang ini aku sibuk dengan penulisan buku-buku akademik dan penulisan kreatif.  Ia banyak membantu untuk aku melupakan Abang Yee dan famili buat sementara waktu ini.  Bukan selamanya.  Kerana aku tidak ingin  kehilangan Abang Yee.  Aku tidak ingin kehilangan papa-papa ku… Dior, Mc Kenzie, Yee Manja, Raine, Dino, Puma. Zaidi dan nama-nama lain yang tak mungkin ku tulis semua… Aku telah kehilangan Alang, G, Rafael dan semua Gang of Thirteens…  Aku tidak ingin kehilangan papa-papa yang lain lagi… 
Hati berkobar-kobar untuk menjauhkan diri buat sementara.  Aku memadamkan nombor telefon Abang Yee, kerana setiap kali memandang telefon aku ternyata ingin sekali menghantar sms dan bertanya khabar Abang Yee.  Ku padam nombor telefon namun aku mengharapkan sms Abang Yee juga.  Menanti setiap waktu Abang Yee menghantas sms.  Empat hari aku seperti cacing kepanasan tidak boleh duduk diam asyik mengharapkan bunyi nada mesej.  Bila ada bunyi aku cepat-cepat menekan dan ternyata ia bukan dari Abang Yee.  Dari Asakir atau Sisters.  Tidak ku balas sms sisters.  Seorang sisters bertanya, mahukah orang berkongsi membeli hadiah bersamanya.  Sakit hatiku! Dia tidak tahu aku anak beranak hari itu cuma makan nasi goring ‘bodoh’!  iaitu nasi goreng tanpa lauk dan sayur.  Cuma ada telur!  Dua tiga bulan ini memang telur menjadi menu utama… telur goring, telur rebus, telur masak lemak, telur masak sambal, telur campur ikan sardin, telur mata kerbau…
Dan pada suatu tengahari mendapat mesej dari sisters, Abang Yee menjemput kami ke rumah.  Aku keliru.  Aku tidak ingin menyakiti Abang Yee.  Aku tahu aku seperti tidak menghormatinya apabila tidak hadir semasa harijadi ‘isterinya’.  Sedangkan ku tahu parti itu dibuat dengan mengejut oleh sisters., tanpa diketahui Kak Ilah.  Aku juga tahu Abang Yee tidak mungkin memarahi aku kerana tidak memberi Kak Ilah sebarang hadiah.  Malah Kak Ilah juga tidak akan berkecil hati jika tidak mendapat hadiah dariku.  Namun apa daya, aku ada perasaan malu… tidak sanggup makan dan minum hasil duit sisters, dan tidak mahu memandang saja semasa orang semua memberi hadiah pada Kak Ila.  Kalau ku beri hadiah, hadiah yang mampu ku beli mungkin cuma berharga dua puluh ringgit… adakah ia akan dihargai?  Sedangkan ku tahu mereka semua berduit kecuali Kak Imah dan Halimah… Ahh!  Semua tidak kena…
Kenapa aku tulis semua ini?  Untuk memburukkan sisters?  Untuk mendedahkan keburukan diri aku?  Menyatakan perangai aku yang buruk?  Kerana aku cemburu? Dengki atau kecil hati?  Supaya Abang Yee memaki hamun aku?  Tidak juga.  Aku sebenarnya sekadar ingin mengingatkan diri sendiri agar ku fahami kesusahan orang lain, agar aku memahami suatu hari nanti supaya merancang dan melakukan sesuatu itu biarlah mengambil kira semua hal… Dan agar aku sentiasa ingat aku ini manusia yang bagaimana. 
Dalam kemurungan pada hari itu aku meminta nombor terlefon abang Yee dari Asakir.  Ku tulis mesej kepada Abang Yee,
“sorry tapi tak boleh pergi, saya ingin bermain dengan anak… semalam dah tinggal mereka seharian..”
Memang benar, pada hari sebelumnya hari sabtu aku ke UPM  menyiapkan penulisan artikel untuk penerbitan buku. Dan memang benar aku terasa Anis begitu sekali ingin bermanja dengan ku.  Dia seperti tidak mendapat kasih sayang dan kemanjaan yang secukupnya dariku.  Tiada balasan segera dari Abang Yee, aku pasti Abang Yee marahkan aku.  Dia pasti marah jika aku tidak hadir.  Dia mahu aku bersama sisters, berkumpul bersama dan bertukar ilmu yang telah dipelajari sebelum ini.  Namun akhirnya Abang Yee membalas, papa Mc Kenzie,
“Mailah SJ! Tak syoklah engkau tak ada mailah!”
Gembira kerana Abang Yee masih mahukan aku pergi.  Aku sebenarnya keberatan juga hendak pergi.  Takut aku akan ditibai oleh Abang Yee kerana memencilkan diri, atau takut dimarah Papa Dior kerana aku berani menghantar sms mengatakan aku rindu.  Namun tak mungkin juga aku derhaka sekiranya Abang Yee masih sanggup mengajak aku ke situ. 
Aku tiba di SJ dengan rasa rendah diri yang amat.  Akhirnya ku tahu bagaimana perasaan orang terhina kerana tidak berduit, kerana tidak menghadiri majlis orang.  Aku keluh kesah pada awalnya untuk bercakap dengan Kak Ilah dan Suraya.  Aku merasa begitu terpinggir, walau pun sebelum itu aku telah menghantar sms pada kak Ilah dan Kak Ilah juga telah menyatakan memahami keadaanku.  Rasa rendah diri membuat aku seperti ingin melarikan diri.  Ingin menangis sendirian di suatu sudut di rumah itu.  Aku ingin segera pulang ke rumah, namun tidak sampai hati memberitahu.  Abang Yee berlagak selamba walau mungkin dia mengetahui kemelut perasaanku.   Ternyata dalam kemiskinan yang dilalui selama empat tahun ini, itulah kali pertama aku merasa rendah diri dan terhina pada sisters.  Kali pertama aku tersedar bahawa semiskin-miskin sisters yang bekerja dan dan sisters yang bersuami tetapi bekerja di syarikat lain, tidak menempuh saat seperti aku.  Bukan aku tidak berduit langsung di tangan atau bank.  Tetapi aku memikirkan perbelanjaan yang mendatang, mencukupkan sebulan gaji begitu terseksa. Kerana ku tahu adik beradikku tidak berharta.  Kawan-kawan ku tiada yang akan meminjamkan wang sekiranya aku susah!  Kalau aku habis langsung wang di tangan, meminjam dari adik beradik adalah suatu perkara yang tidak pernah terfikir oleh otakku.
Agak lama sebelum aku dapat menyesuaikan diri.  Terasa benar aku sememamngnya menyayangi Abang Yee ketika aku dan Moly mengurut tulang belakang Papa Mc Kenzie.  Perasaan yang sama ketika aku dan Suraya mengurut Papa Dior.  Sedih memikirkan aku ini serba kekurangan, banyak kelemahan, sentiasa merasa diri terpinggir dan tiada sebarang kepentingan.  Saat itu juga aku memikirkan tentang sifu ku G.  G memahamikah apa yang ku telah ku rasai sepanjang masa empat tahun ini.  Dia tahukah betapa ingin sekali bertemu dengannya tatkala ini?  Sudikah dia memaafkan aku kerana telah terlanjur menyintainya?  Adakah ingatannya terhadapku masih padam… segelap kenanganku padanya.  Mungkin kalau G hadir aku boleh berkongsi dan meluahkan perasaan yang terbuku… perasaan sayang pada papa-papa ku yang bukan sebarang manusia, perasaan untuk mengenali dirinya yang telah terpadam? 
Kenapa G membuat aku jatuh cinta?  Sampai hati G membuat aku begini.  Dia  sengaja pergi dari ku.  Dia sengaja meninggalkanku setelah menyedari aku terjatuh cinta.  G memang jahat! Dia kan ahli G13? Sudah semestinya dia tidak merasa apa-apa akan kebencian ku padanya.  Tetapi aku ini tetap rindu, walau dia telah berpaling dariku.  Senyumannya, pandangannya serta sms nya yang membayangkan cinta dan rindu padaku.  Usapan lembut jarinya sewaktu membaca manuskrip novelku… semua itu untuk apa?  Papa-papaku tahukah apa yang G telah buat pada ku?  Sebalnya tidak tertanggung.
Saat air mata ingin menitis keluar, aku menuju ke arah sisters dan berlagak selamba cuba mengambil tempat di dalam perbualan mereka. Aku turut sama mencari gambar yang menunjukkan imej dunia bunian.  Ketika aku sedang asyik memerhati gambar-gambar yang dirakam oleh kamera Kak Khalisa yang dengan jelas terakam sama gambar Papa Yee Manja dan seorang lelaki yang tidak ku kenali, gambar seorang pemaisuri dan anak-anak Kak Ilah, aku sekali sekala memerhati Abang Yee… mana tahu kalau Papa Dior keluar.  Mata akhirnya berpandangan.  Dia memanggilku.  Aku duduk di lantai sedangkan dia duduk dengan payah di kerusi?  Papa Dior kah itu?  Dia sakitkah?  Atau Papa Puma, Papa Zaidi atau Papa Dino?
“Kenapa kau berhenti menulis, Rosya?”
“Tak… masih menulis.. sekarang pun menulis novel kedua…”
Suaranya begitu perlahan.  Aku memasang telinga.
“jangan berhenti menulis… sayang kalau berhenti.. kau ada bakat…”
“Sifu kau tak ada, but you must write by your own now…”
Aku cuma mengangguk.  Fikiranku yang melayang kepada G rupa-rupaya telah dihidu papaku.  Frekuensi yang kuhantar pada G dipintas oleh bunian yang lain.  Malunya aku.  Tetapi aku bahagia kerana papaku yang ini memahami.  Wahai! Cinta bunian siapakah yang tega tanpa jatuh cinta separuh gila? 
“tapi jangan tulis pasal Yee Manja saja… dia tu kalau boleh nak tulis pasal dia saja…”
Dia tersenyum.  Aku melihat senyumannya.  Terasa diri disayangi dan dihargai.  Aku kalau boleh tidak mahu berganjak dari situ, ingin terus menatap wajah papa ku itu, walau siapa pun dia… namun ku sedar diri… Aku berkata,
“Tapi saya tulis juga sedikit pasal Yee Manja dalam cerpen…. Nak bodek…”
Ah! sebenarnya bukan ingin membodek, aku ingin menghiburkan.  Ku tulis cerita lawak tentang Yee Manja agar dia terhibur sedikit di alam sana.  Dalam masa yang sama kalau cerpen itu dapat menghiburkan Abang-abang Yee di luar yang sedang sakit kepala memikirkan strategi syarikat bagi mengumpul dana.  Dia tersenyum lucu dan aku bangun meninggalkannya setelah merasa tiada lagi apa yang ingin dikatakannya padaku. 
Ketika aku sedang asyik mendengar percakapan sisters, Abang Yee bertanya,
“Sifu kau tak hantar sms kat kau Rosya?”
“Tak ada…”
“Kau hantar sms dia tak balas?”
“Tak balas langsung.”  Jawabku tersengih.  Aku ingin menangis sebenarnya!  Aku menderita kerana sifuku.
“Abang Yee bagi saya sifu baru boleh tak?”  Aku melawak.  Yang sebenarnya aku pasti tiada siapa dapat mengganti sifuku itu.  Banyak budi yang dihulurkannya.  Sejak dia mengurutku, aku tidak lagi diserang sakit kepala yang teruk, kesakitan di tulang belakang juga sudah berkurangan, hubungan suami isteri dengan Asakir juga bertambah baik selepas aku mengikut nasihatnya.  Novelku banyak didorong oleh dirinya.  Setiap kali aku membayangkan sifuku maka hati meronta mahu menulis.  Tidak dapat aku menggambarkan rupanya walau pernah berjumpanya di alam mimpi.  Orang yang bagaimanakah dia? 
Abang Yee datang menghampiri kami yang masih memandang gambar super imposed bunian. 
“Tak boleh percaya ini… nampak saja pakai serban… tak boleh caya tengok serban je!”
Katanya tersenyum.  Mc Kenzie! Dia mengutuk Yee Manja.  Aku tersenyum.  Mentang-mentang Yee Manja dah tak boleh keluar, ikut sedap mulut dia mengata papaku yang itu.  Aku mengeleng kepala kerana tahu apa yang dikatakannya memang benar.  Papa Yee Manja itu memang manja dan comel tapi nakal… yang amat!  Dan kerana itu aku memang sayangkan dia.  Perangaiku pula taklah ‘seteruk’ Yee Manja, tapi memang aku ni juga manja walau pun tidak comel.  Wanis anakku itu memang mengikut perangai Papa Yee Manja, comel, cerdik, manja dan nakal.  Semakin menjadi-jadi ku lihat manja dan comel Ikhwanis.
Dia kembali ke kerusi dan aku tatkala itu memandang matanya. 
“Rosya!”
Aku bergegas ke depannya duduk bersimpuh.
“Kenapa tak tulis novel lagi?”
Aku menggaru kepala.  Tadi pun sudah ditanya.  Hah bosannya… asyik jawab soalan yang sama.. asyik-asyik tentang novel, sedangkan banyak lagi urusan di pejabat tidak ku laksanakan kerana kesuntukan masa.
“Tulis…  Dah tulis pun…”
“Berapa banyak dah tulis?”
“hmmm..single spacing 40 lebih…”
Dia diam dan aku memandang mukanya.  Wajah yang serius… kelihatan lebih muda, berlagak seperti seorang abang yang mengambil berat.
“Tau aku siapa?”
Aku terdiam seketika.  Aku masih memandang.  Dia merenung aku.
“Tak…”
Wajah yang kecewa… dan pandangan mata itu… sesaat baru aku sedar dia itu siapa.
“Sifu?”
Dia tersenyum sedikit.
“Sifu?”  Kali ini suaraku lebih kuat.  Bagai tidak percaya orang yang aku rindui, yang pernah ku tangisi saban malam berada di depan mata.  Dia mengangguk.  Bahagia ku rasakan meresap ke seluruh sanubariku.  Sudi juga dia datang menjenguk aku.  Mungkin kerana sangkanya aku sudah berhenti menulis.  Datang semata-mata kerana ingin memberi aku kekuatan.  Dia masih risau akan diriku rupanya, walau sudah meletakkan noktah terakhir kepada ku. Dia masih sudi mengaku aku muridnya walau dia sudah bergelar Haji, walau perangai aku sebegini buruk.  Ah! Mungkin juga dia datang atas arahan papa ku tadi.  Sengaja ingin mengubat luka dan duka kerinduan seorang sifu yang telah tersalah anggap sebagai seorang kekasih.  Baiknya papaku menghadiahkan aku kehadiran sifuku sebagai menceriakan aku yang telah sekian lama bungkam dan menyendiri tidak mahu bercampur dengan sisters.
“Ingatan Abang Yee tak kena delete ya?”
Aku bertanya tanpa menyangka.  Air mukanya berubah.  Tersilap kata.  Aku menyesal.  Dia tersenyum memandang muka ku yang merasa bersalah namun tidak membalas pertanyaanku.    Kenapa air  mukanya berubah tatkala aku bertanya tentang memorinya bersamaku?  Adakah dia sudah lupa akan kenanganku bersama dia, saling menghantar sms rindu dan cerita lucu yang kemudian menjadikan hubungan kami semakin mesra dan seterusnya menyimpang daripada hubungan sifu dan murid?
Thank you sudi datang…”  Kataku sepatah.
Dia mengangguk tanda dia akan kembali ke dalam.  Aku segera beredar.  Puas hati dia datang berjumpa dan sudi bertanya khabarku.  Baiknya dia, walau tahu aku kehilangan kabanyakan ingatanku padanya masih sudi juga keluar walau sekejap… walau kesakitan… kerana tubuhnya seperti Yee Manja juga… molekul sudah tidak sama… terbakar sedikit demi sedikit jika menghadirkan diri ke ‘luar’.  Terlepas beban sengsaraku kerana permasalahan kewangan dan cinta ‘palsu’.  Aku ingin mengatakan cinta sejati tetapi cinta sejati tak mungkin akan wujud pada isteri yang masih bersuami.  Itu mungkin cinta berlandaskan nafsu semata-mata.

No comments:

Post a Comment