catatan peribadi ryina ikhwan

Ikuti catatan peribadi ryina ikhwan di http://ryinaikhwanroslina.blogspot.com/

Sunday 2 January 2011

Bahagian 5

Mungkin kerana tinggal di kampung ibu, aku tidak tahu banyak mengenai keluarga ayah.  Hati budi keluarga ayah.  Yang ku ketahui tiada yang  baik.  Moyangku mengamalkan ajaran salah, kata Yee Manja.  Sebab itu dia boleh melarikan anak dan isteri orang.  Dia tidak basah kuyup walau hujan.  Datukku pemboros.  Ibu tiri ayah membeli pakaian dan makanan sesuka hati tapi tidak pernah membeli walau sekeping tanah.  Ayah membeli sebidang tanah dan tanah itulah diduduki datokku dan nenek tiriku.  Apabila datokku meninggal, tiba-tiba ibu tirinya mahu menuntut harta pusaka.  Akhirnya nama ayah hodoh di mata  orang.  Mana mungkin ayah serahkan harta itu kepada ibu tirinya?  Tapi ayah tidak pernah menghalau mereka keluar, ibu tiri dan adik sebapanya keluar meninggalkan rumah setelah tidak berpuas hati.  Masa adik itu berkahwin ayah hulurkan beberapa ratus ringgit untuk membantu, namun ayah juga yang buruk. 
Rumah itu diduduki adik seibu dan sebapa serta anak saudara ayah.  Suatu ketika, anak saudaranya mahu membesarkan rumah.  Kata ayah, ayah tidak kisah, Cuma ayah bimbang selepas ayah tiada anak-anak ayah mengambil alih, maka mungkin akan berlaku hal-hal yang tidak diduga.  Niat ayah jujur, namun sayang, baik anak saudaranya maupun adiknya tidak mahu memahami.  Anak saudaranya berkerat rotan tidak menegur atau bertanya khabar ayah.  Pada hari kematian ayah setelah berpuluh tahun baru mahu datang melihat sekujur tubuh yang sudah kaku.  Untuk apa?  Tidakkah dia tahu ayah setiap waktu memberi ibunya duit, ibu walaupun bising memberi sedikit wang pada ibunya, dan kami setiap kali ibunya berkunjung ke rumah kami, kami tetap juga menghulur seringgit dua?
Itu sajalah harta ayah.  Ayah mahu jualkan tanah.  Aku mahu membelinya dengan harga yang mahal.  Masa itu aku belum pun lagi berkahwin.  Bagiku bukan harta yang ku gilakan.  Harta ayah akan menjadi kenanganku.  Namun ayah tidak jualkan kepadaku.  Dia jualkan tanahnya di Bunut Payung, Kota Bharu kepada sanak saudaranya juga dengan harga yang lebih rendah dari yang ku tawarkan.  Kata ayah, dia tidak mahu aku atau anak-anaknya yang lain berjiran dengan saudara maranya.  Katanya tidak boleh dibuat saudara dan kawan.  Aku tidak ralat sedikit pun.  Memang ayah benar.  Ayah lebih mengetahui saudara maranya daripada kami.  Masa itu aku tersentuh dengan kata-kata ayah.  Ayah tidak sayangkan hartanya terlepas kepada orang lain.  Dia tidak rela kami makan hati berada di kejiranan itu. 
Ibuku yang memang baran tetapi sangat mementingkan tali persaudaraan.  Ibu cepat marah atau tidak sabar menangani kerenah aku dan adik beradik.  Arwah ibu pernah berkata, melahirkan  rasa tidak puas hati pada salah seorang adiknya,
“Solat tidak tinggal, lepas solat berwirid dan mengaji Quran… tetapi dengan adik beradik tidak tegur menegur…  Ingat dosa memutuskan silaturrahim itu dosa bagaimana?”
Kerana didikan ibu dan wasiat ibu kami adik beradik tidak pernah berebut atau menyebut tentang harta arwah yang sedikit itu.  Kerana wasiat ibu aku cuba sedaya upaya menolong abangku setakat yang termampu kerana ku ketahui, adik beradik yang lain lebih susah dari aku.  Dan mujurlah juga Su dan Angah juga memahami keadaaanku dan sepakat membantu abangku bersama.  Dalam keadaan hidup susah begini… payah untuk ku pikul tanggung jawab untuk memuaskan hati suami dan dalam masa yang sama membantu adik beradik.  Asakir bukan jenis yang berkira.  Namun demikian, aku telah juga meminimakan tanggug jawab setakat yang ku terdaya.  Aku tidak mungkin juga melupai wasiat dan tanggung jawab sebagai seorang adik dan kakak.  Aku yang banyak membantu mereka selama ini sejak aku di dalam Darjah Lima.  Aku tidak mungkin lupa kesengsaraan ditinggalkan ibu bapa .. dan kesusahan yang telah ku redah bersama abang dan adik-adikku.  Tanggungjawab dan bantuan yang ku hulur tidak mungkin berhenti.  Dan sokongan Asakir amat ku perlukan.  Dan mujurlah dia memahami keadaanku.
“Jawapan yang jujur.” Kata Abang Yee.   Aku tersedar dari lamunan dan memandang Abang Yee semula.
“Memang keturunan engkau baran.  Kat dalam tu ada dua… bukan tiga orang yang aku penjarakan selama 350 tahun.”
Mukaku berubah seketika.  Rupa-rupanya saudara mara ku di dalam sana ada yang menjadi ‘banduan’. 
“Dia orang buat salah apa Abang Yee?” 
Tanyaku kepada Raja Bunian yang itu dengan penuh harapan agar dia menjawab,  namun sayang tiada jawapan, cuma senyuman sinis.  Kalau Yee Manja mesti dia membalas setiap pertanyaanku.  Apa dayaku, ayahanda yang ini memang tegas, serius dan tidak mungkin memanjakan kami.  Lebih-lebih lagi setelah kami mengetahui dia raja Bunian.  Dulu semasa dia kami panggil Dior, tidaklah dia ‘seteruk’ ini.  Dulu Dior berperangai macam Mc Kenzie, control macho.  Boleh juga bergurau senda, sekarang ni dia tak bagi can langsung.  Cuma aku yang tidak reti bahasa bertanya itu ini padanya.  Peduli apa aku?  Aku memang blur dan lurus bendul!
“Kau orang nak tahu kenapa aku pangil semua malam ni?”
Diam.
“sebab aku nak bagi peringatan yang amat penting bagi isteri-isteri… Subuh esok seorang isteri akan aku bawa masuk dalam, untuk direjam 1000 kali…”
Sukar hendak digambarkan perasaanku ku ketika itu.  Siapa pula yang akan direjam.  Kenapa dan bagaimana?
“Sebelum ni pun dah ramai isteri yang aku rejam… isteri yang aku dah trained, dah aku bagi ilmu dan aku bagi amaran tapi nak juga berzina dengan jantan lain…”
“Kau nak tahu siapa aku?”
Senyap.
“Aku yang selalu Suraya urut, selalu Mas urut belakang aku, yang Mun pijak belakang aku… baik aku kan?”
Dia memandang Kak Mun, Suraya dan Maisarah bergilir-gilir.  Ketika itulah aku menyangka ia adalah Dior, atau Tok Anjang, atau ayahandaku yang ku sayang itu.  Namun akal ku ketika itu bagai sukar mahu mempercayai.
“Aku lah yang mula-mula sekali merejam isteri-isteri berzina… kat dalam dan luar… sejak aku jadi pemerintah, aku tak pernah miss merejam orang.  Kau bayangkan jika aku yang merejam kamu.. muka aku yang mula-mula kau tengok… bayangkan muka aku yang selalu bersembang dulu… ketika itu muka aku nilah yang kau pandang… cuba bayangkan muka aku pada masa itu… Aku tak pernah miss rejam orang… aku yang pertama sekali, baru lah rakyat jelata aku… sejak aku jadi raja, kerja itu memang aku tak pernah miss, walau sekali…”
Aku ketakutan.  Takut aku memikirkan.  Muka ku yang bagaimana pada ketika itu, jika orang akan menjatuhkan hukuman dan merejam itu adalah ayahandaku Tok Anjang atau Yee Manja atau Puma atau  Zaidi atau Dino atau Alang atau G?  Tidak pernah terniat di hati untuk curang pada suami.  Apatah lagi untuk berzina dan menjual harga diri.  Namun aku juga mengetahui begitu ramai isteri sekarang berzina waktu rehat tengahari di hotel-hotel bersama suami orang atau bukan suami orang.  Aku juga mengetahui benar perasaan seorang isteri yang merasa terbiar dipinggirkan suami yang sibuk sepanjang masa.  Aku kenal beberapa orang isteri yang jatuh cinta pada yang lain, aku juga kenal isteri yang kembali kepada kekasih lama walaupun dia dan kekasih itu telah berkeluarga dan beranak pinak.  Ikhlas seikhlasnya aku yakin aku tidak akan menduakan Asakir.  Jika aku memang perempuan sebegitu sudah lama rasanya rumah tanggaku berantakan.  Namun godaan lelaki dan godaan iblis, mampukah ketika itu aku menahannya?  Sedangkan aku tahu benar imanku senipis kulit bawang.  Tuhanku, selamatkanlah maruahku…

No comments:

Post a Comment